AM

Saifuddin Nasution Lancar Tiga Batalion Baharu PGA Sabah, Sarawak

18/05/2025 03:32 PM

PAPAR, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini melancarkan tiga batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA), iaitu Batalion 21 Keningau dan 22 Kunak di Sabah serta Batalion 23 Sri Aman di Sarawak. 

Saifuddin Nasution berkata penubuhan tiga batalion itu menjadikan PGA kini mempunyai 23 batalion di seluruh negara, dengan tujuh daripadanya di Sabah, empat di Sarawak manakala selebihnya di Semenanjung.

“PGA kini mempunyai kekuatan 12,000 anggota, dengan setiap batalion kita ada 600 pegawai dan anggota. Signifikan peluncuran ini bukti jelas komitmen berterusan kerajaan serta PDRM (Polis Diraja Malaysia) jalankan tanggungjawab hakiki pastikan keamanan, keselamatan negara dan ketenteraman awam dijaga.

“Ini juga mengesahkan tahap kesiapsiagaan pasukan bagi menghadapi apa juga senario, cabaran atau ancaman keselamatan. Sabah pernah ada peristiwa hitam (Tragedi Tanduo) jadi keadaan ini menghendaki pasukan keselamatan terutama PGA dalam siap siaga,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Batalion 21 Keningau, 22 Kunak, dan 23 Sri Aman Pasukan Gerakan Am (PGA) di PGA Briged Sabah yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Dalam sidang media itu, Saifuddin Nasution turut menekankan komitmen kerajaan dalam menyokong PGA dari segi kebajikan anggota, termasuk penyediaan kemudahan pejabat dan tempat tinggal yang kondusif bagi memberikan keselesaan kepada anggota.

"Kerajaan telah memperuntukkan dana bagi pembelian dan pemantapan aset baharu untuk menyokong keupayaan pasukan. Aset ini penting kerana kita punya kepakaran dan keupayaan yang perlu diperkasakan dengan aset yang tepat serta bersesuaian," tambah beliau.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata beberapa projek telah mendapatkan kelulusan kerajaan, antaranya pembangunan pos PGA baharu di sempadan Malaysia dan Kalimantan membabitkan peruntukan RM32 juta, melibatkan tujuh lokasi di Sarawak dan satu di Sabah.

Selain itu, beliau berkata pembangunan kompleks pentadbiran dan kuarters penginapan bagi Batalion 20 Beluran, Sabah, dengan peruntukan RM400 juta dan 10 Sarikei, Sarawak, melibatkan RM200 juta dijangka siap tahun ini.

“PGA juga akan menggantikan seragam operasi sedia ada kepada pakaian seragam celoreng baharu yang ditambah baik dari segi reka bentuk, warna dan corak bertujuan meningkatkan imej mengikut keselesaan, kesesuaian, fungsi serta menyerlahkan identiti pasukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan