AM

Kesan Tapak Harimau Di Jeli, Perhilitan Nasihat Penduduk Tidak Ambil Tindakan Sendiri

18/05/2025 08:04 PM

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menasihatkan penduduk Kampung Renyuk di Jeli berwaspada dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya bertembung haiwan liar seperti harimau di kawasan sekitar.

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima laporan daripada penduduk pada 14 Mei lepas yang mendakwa menemui kesan tapak kaki dipercayai milik harimau di kawasan hutan berhampiran kampung.

“Perhilitan telah menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut dan menilai sama ada perlu memasang perangkap atau kamera pengesan. Buat masa ini fokus utama ialah mengesahkan spesies haiwan yang meninggalkan kesan tapak kaki itu.

“Kami menasihatkan penduduk agar tidak panik, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat haiwan liar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hafid turut mengingatkan bahawa tindakan individu menangkap, mengganggu atau mendekati haiwan liar boleh membahayakan diri dan melanggar undang-undang.

Sejak awal minggu ini, tular di media sosial beberapa gambar kesan tapak kaki harimau sebesar tapak tangan dewasa, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung hingga ada yang tidak ke kebun kerana risaukan keselamatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan