AM

Pahang Terapkan Sistem Pengurusan Risiko Rasuah Di Semua Jabatan Kerajaan - MB

14/05/2025 08:12 PM

KUANTAN, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan menerapkan sistem Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan pensijilan ISO 37001 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) di semua jabatan kerajaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pendekatan berkenaan diambil sebagai langkah konkrit untuk memperkukuh integriti dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran negeri.

 Beliau berkata kedua-dua sistem berkenaan telah dilaksanakan oleh hampir semua anak syarikat kerajaan negeri sebelum diperluaskan ke peringkat agensi kerajaan negeri.

"Ini bagi memastikan setiap organisasi memiliki mekanisme pencegahan rasuah yang mantap, sekali gus mengurangkan sebarang risiko ketirisan dan salah guna kuasa.

"Dengan pelaksanaan sistem ini, setiap organisasi akan dapat mengenal pasti, menganalisis dan mengawal risiko rasuah dengan lebih sistematik," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) peringkat negeri Pahang di sini hari ini.

CRM adalah proses pengurusan membantu organisasi untuk mengenal pasti risiko-risiko rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta menyediakan pelan pengurusan risiko yang sistematik sehingga mewujudkan tadbir urus terbaik yang boleh menutup ruang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

ISO 37001 ABMS pula adalah sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi mengesan, mencegah, mengendalikan, menguat kuasa, menilai serta menambah baik langkah pengurusan antirasuah secara berkesan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Kamaruzaman dalam ucapannya mengingatkan pemimpin dan pejawat awam berkaitan rasuah yang boleh dianggap seperti penyakit.

"Penyakit rasuah mempunyai dua simptom sukar diubati iaitu ketagihan dan kesan kepada jiwa, ketagihan rasuah diibaratkan ketagihan dadah yang sukar untuk berhenti dan diubati.

"Cuma yang membezakan ketagihan rasuah dengan ketagihan dadah ialah penyakit rasuah akan berhenti apabila dia sudah tiada jawatan atau kuasa dalam sesebuah kementerian, jabatan atau organisasi tertentu," katanya.

Beliau berkata jenayah rasuah juga umpama barah yang merebak pantas menyerang setiap sendi anggota badan sebelum membunuh individu, keluarga, masyarakat dan akhirnya negara.

"Selagi kita ada jawatan, selagi kita ada kuasa dan selagi mana kuasa serta jawatan yang ada pada kita hari ini mempunyai kepentingan kepada semua pihak, maka selama itu juga kita akan sentiasa berhadapan dengan risiko terdedah kepada bahayanya penyakit rasuah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan