EKONOMI

Public Gold Dilantik Pengedar Utama Jongkong Emas Emirates Gold Di Asia Tenggara

06/05/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Public Gold Marketing (Public Gold) memeterai dua perjanjian kerjasama dengan Emirates Gold DMCC (Emirates Gold), syarikat penapis dan pengeluar jongkong emas Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Syarikat dagangan logam berharga itu berkata perjanjian itu menandakan era baharu sinergi global antara Malaysia dan UAE, mengukuhkan rantaian bekalan emas serantau, meluaskan akses runcit emas yang inovatif dan meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.

"Produk hasil kerjasama ini akan dipamerkan pada pameran sulung Emirates Gold di Malaysia Gold Jewellery Exhibition 2025 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Pulau Pinang.

“Sebagai pengedar utama yang dilantik, Public Gold akan menjalankan perdagangan jongkong emas dan produk emas berjenama Emirates Gold di pasaran Asia Tenggara dengan sokongan daripada Emirates Gold,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

Public Gold berkata kerjasama ini turut menyatukan dua peneraju industri dengan memanfaatkan keupayaan penapisan bertaraf dunia milik Emirates Gold serta jaringan pelanggan yang luas, kepakaran pasaran mendalam, dan infrastruktur runcit yang dipercayai milik Public Gold di Asia Tenggara.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Datuk Louis Ng berkata perkongsian ini merupakan bukti kemampuan syarikat, daripada kecemerlangan produk sehinggalah kepada inovasi runcit.

“Tatkala industri emas Malaysia memasuki fasa baharu di pentas global, kami berbangga membina hubungan dagangan jangka panjang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta ekonomi ASEAN secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Gold Abhijit Shah menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah penting ke arah memperkukuh integrasi serantau dalam industri emas.

“Dengan memanfaatkan jaringan pelabur, pengguna, dan rakan institusi Public Gold yang meluas di seluruh Asia Tenggara dan rantau lainnya, kami yakin dengan kemampuan mereka untuk melonjakkan jenama Emirates Gold ke tahap lebih tinggi.

“Bersama-sama, kami berhasrat membangunkan ekosistem emas yang kukuh, telus, dan dipacu inovasi yang mampu memberi nilai jangka panjang kepada semua pihak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan