AM

Sarawak Dan Airbus Jalin Kerjasama Strategik, Enam Bidang Utama Dipersetujui - Abang Johari

06/05/2025 09:47 AM

KUCHING, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mengorak langkah ke hadapan dalam usaha membangunkan industri aeroangkasa negeri itu menerusi kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan terkemuka dunia, Airbus.

Sehubungan itu, kerajaan negeri dan Airbus telah bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan bersama bagi merangka pelan hala tuju pembangunan industri aeroangkasa negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hasil lawatan rasmi beliau ke ibu pejabat Airbus dan ATR, pengeluar pesawat turboprop di Toulouse, Perancis pada Isnin lepas telah membuka ruang kepada enam bidang utama yang dipersetujui untuk diteroka bersama ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa baharu di rantau Asia Pasifik.

“Penubuhan Pasukan Bersama Sarawak-Airbus itu bertujuan untuk mewujudkan gabungan tenaga kepakaran dalam industri melalui kerjasama dan perbincangan yang komprehensif antara pakar-pakar terlibat untuk merangka pelan berkenaan.

"Usaha ini dijangka dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan industri penerbangan sekali gus membuka peluang baharu bagi kemajuan sektor ini di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Abang Johari berkata penubuhan pasukan bersama itu merupakan antara enam bidang utama kerjasama strategik dipersetujui untuk diteroka bersama kerajaan negeri dan Airbus.

Selain itu, Airbus akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk membangunkan satu kawasan seluas 100 ekar (40.5 hektar) di negeri itu sebagai tapak Aerotropolis, ia akan menjadi hab bersepadu untuk menyokong ekosistem industri penerbangan.

Beliau berkata kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meneroka bidang penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang sedang giat dibangunkan di Sarawak. 

Airbus akan berganding dengan institusi tempatan Sarawak seperti Kolej Universiti ICATS bagi membangunkan program latihan serta silibus berkaitan aeroangkasa dalam usaha melahirkan modal insan untuk industri aeroangkasa, katanya.

Dalam pembangunan ekosistem industri sokongan aeroangkasa pula, beliau berkata Airbus akan membantu Sarawak untuk meneroka potensi pembuatan bahan komposit dan kulit sintetik berasaskan gas, selain teknologi avionik serta instrumen berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata kerjasama dipersetujui turut melibatkan pembangunan sistem pendigitalan perjalanan dan perkhidmatan penerbangan yang bakal mengintegrasikan semua urusan perjalanan dalam satu pakej digital.

“"Ini bagi menyepadukan urusan perjalanan daripada tempahan tiket penerbangan, penggunaan sistem pengangkutan Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching hingga ke penginapan dalam satu pakej digital yang lancar," katanya lagi.

ART Kuching adalah sebahagian daripada fasa pertama pelan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan