KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Usaha meningkatkan akses kepada rawatan penyakit jantung di Selangor mencapai satu lagi tahap penting hari ini, dengan termeterainya kerjasama strategik antara Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) dan SELCARE, pengendali program kesihatan di bawah Skim Rawatan Jantung Selangor 2025.
Melalui kerjasama itu, SMC menegaskan komitmennya terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan perkhidmatan diagnosis awal, saringan dan rawatan jantung khususnya untuk individu yang layak daripada komuniti rentan.
SELCARE, sebagai entiti kesihatan Kerajaan Negeri Selangor dan sebahagian daripada Kumpulan SELGATE pula, akan terus memainkan peranan dalam merapatkan jurang antara dasar kesihatan awam dan perkhidmatan perubatan yang berkualiti tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata kerjasama itu, mencerminkan usaha berterusan SMC untuk menyediakan penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami berbangga dengan 28 Pusat Kecemerlangan kami, termasuk Pusat Jantung, Paru-Paru dan Vaskular kami yang berprestij. Kami juga komited untuk memanfaatkan teknologi perubatan terkini dan tenaga profesional kesihatan pakar demi memberi khidmat kepada komuniti.
“Kami mempunyai 13 pakar kardiologi yang merangkumi penjagaan dewasa dan kanak-kanak, serta menawarkan pelbagai subkepakaran kardiologi yang komprehensif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata program itu diharap dapat memberi impak positif khususnya kepada komuniti yang menghadapi kekangan kewangan atau logistik dalam mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SELGATE Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata kerjasama dengan SMC adalah sejajar dengan matlamat SELCARE, untuk memastikan penjagaan kesihatan jantung sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.
“SELCARE sentiasa komited untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih inklusif dan mampu milik. Kerjasama ini adalah contoh bagaimana kekuatan sektor swasta boleh digembleng untuk memperkukuh dasar awam demi manfaat rakyat,” katanya.
SELCARE, yang mengendalikan program utama seperti Iltizam Selangor Sihat (ISS), Selangor Saring dan Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor, telah memberi manfaat kepada lebih 600,000 individu menerusi rangkaian lebih 2,000 klinik dan 200 hospital di seluruh negara.
Inisiatif itu menandakan satu lagi kejayaan dalam kerjasama awam-swasta yang menyokong wawasan kerajaan negeri dalam menyediakan akses kesihatan yang menyeluruh, mampan dan adil kepada seluruh rakyat Selangor.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial