AM

Penganjuran ACD 2025 Perkukuh Peranan Koperasi Sebagai Pemacu Ekonomi Serantau

07/05/2025 12:34 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Penganjuran Dialog Koperasi ASEAN (ACD) 2025 adalah bagi memperkukuh peranan agensi itu sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan sosial serantau dengan tumpuan utama kepada pembentukan ekosistemnya di peringkat ASEAN yang lebih inklusif, progresif serta berdaya tahan.

Program yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 14 Mei ini adalah platform strategik bagi negara ASEAN membincangkan dasar, peluang kerjasama dan cabaran bersama dalam sektor koperasi. 

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Presiden Organisasi Koperasi ASEAN (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata antara matlamat utama ACD 2025 ialah mengangkat agensi itu sebagai entiti ekonomi yang setaraf dengan sektor lain. 

"Selama ini, koperasi lebih banyak dikaitkan dengan sektor pertanian sahaja. Kini kita mahu perluas peranannya ke sektor-sektor strategik lain seperti kewangan, pelancongan, tenaga boleh baharu, hartanah dan digitalisasi," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara di Bernama TV malam ini.

Beliau berkata dialog itu juga bertujuan menyeragamkan peraturan dan undang-undang koperasi di seluruh ASEAN bagi memudahkan pergerakan perniagaan antara agensi tersebut serta mempercepat pembangunan sektor berkenaan.

"ACD 2025 ini akan merumuskan satu resolusi bersama yang bakal dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya diangkat ke Sidang Kemuncak ASEAN dengan harapan mendapat pengiktirafan formal daripada para pemimpin tertinggi rantau ini," katanya.

Abdul Fattah berkata dialog berkenaan bakal menghimpunkan pemimpin koperasi dari seluruh ASEAN dan negara seperti China, India serta Jepun.

Beliau berkata delegasi dari Arab Saudi juga dijangka hadir yang sekali gus menandakan keterbukaan dunia Islam terhadap kerjasama koperasi.

"Selain itu, koperasi tempatan yang menyertai program ini akan diberikan kelebihan seperti peluang pendedahan.

"Pada masa sama, kita akan menganjurkan pameran untuk produk-produk khususnya produk koperasi Malaysia," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan