AM

Pendekatan Kolektif ASEAN Perkukuh Kuasa Rundingan Tarif Dengan AS - Penganalisis

06/05/2025 09:18 AM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bertindak secara kolektif sebagai satu blok ekonomi serantau memberikan kelebihan besar kepada 10 negara anggota ASEAN dalam rundingan tarif timbal balik dengan Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata sebagai blok dengan kekuatan ekonomi berjumlah US$4 trilion dan penduduk mencecah 640 juta orang, ASEAN lebih berpengaruh jika berunding secara kolektif berbanding secara individu.

"Walaupun rundingan secara individu telah berlaku antara negara, tetapi jika bergerak secara kolektif bermakna kita mempunyai lebih kuasa tawar-menawar dan boleh membuat tuntutan.

"Rundingan secara individu mungkin akan merugikan kita. Jadi bagi saya ia pendekatan yang sistematik dan strategik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Azizuddin berkata dukungan penuh negara anggota ASEAN terhadap Malaysia untuk membentuk suara kolektif dalam rundingan berkenaan menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan negara dalam menerajui blok serantau itu sebagai pengerusi tahun ini.

"Ini adalah pendekatan strategik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kita dapat menangani kesan tarif ini sebagai satu blok ekonomi," katanya.

Ketika sesi penerangan berkaitan tarif AS pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri berkata sebarang pendirian terhadap tarif itu perlu diambil secara bersama sebagai blok yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan strategik ASEAN.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara anggota juga menyatakan dukungan penuh kepada Malaysia untuk membentuk suara kolektif dan kebersamaan ASEAN sebagai blok ekonomi yang besar dalam mengadakan rundingan bersama AS. 

Penasihat Utama di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia Dr Oh Ei Sun berkata Malaysia sedang berusaha sebaik mungkin untuk membentuk respons kolektif ASEAN terhadap pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat.

Beliau turut bersetuju bahawa dengan bersatu akan meningkatkan kuasa rundingan blok berkenaan namun menegaskan bahawa keberkesanannya bergantung sepenuhnya kepada kesediaan negara-negara ekonomi utama dalam ASEAN memberikan komitmen.

“Sekarang terpulang kepada negara-negara ekonomi utama ASEAN untuk menyokong usaha ini. mereka seharusnya sedar bahawa tindak balas kolektif mungkin lebih menguntungkan negara masing-masing kerana ASEAN mampu merundingkan syarat yang lebih baik secara bersama,” kata beliau yang juga Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Sementara itu, Geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan berkata kesepakatan ASEAN amat penting walaupun setiap negara anggota dikenakan kadar tarif berbeza antara 10 hingga 49 peratus dan mempunyai kumpulan perundingan sendiri.

"Justifikasi dan strategi setiap negara berlainan, namun setakat ini semua bersetuju untuk sepakat tidak mengenakan tarif timbal balik kepada AS seperti dilakukan oleh China," katanya.

Azmi turut bersetuju supaya perdagangan intra-ASEAN ditingkatkan selain berusaha mencari pasaran baharu supaya impak tarif AS dapat diminimumkan.

"Perdana Menteri menyebut tentang Sidang Kemuncak ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta dengan negara Eropah walaupun rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah masih lagi berjalan, namun boleh dikatakan ia adalah pasaran baharu," katanya.

Pada 9 April lepas, pentadbiran AS mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif balas individu yang dikenakan terhadap kebanyakan negara, namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.

Keputusan itu diambil susulan bantahan dan kebimbangan disuarakan oleh lebih 75 negara, termasuk Malaysia terhadap pelaksanaan tarif yang dianggap mengejut dan bersifat unilateral.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan