AM

Jangan Tangguh Laksana Mekanisme Ketelusan Harga Ubatan - TERAS

01/05/2025 06:07 PM

ALOR SETAR, 1 Mei (Bernama) -- Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) menyarankan supaya kerajaan terus melaksanakan Mekanisme Ketelusan Harga Ubatan tanpa sebarang penangguhan demi manfaat pengguna.

Presiden TERAS Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pihaknya mengalu-alukan tindakan bersungguh daripada kerajaan untuk melaksanakan mekanisme itu bagi meringankan beban rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi.

“Isu mempamer harga ubat ini telah lama tertangguh. Industri farmaseutikal moden berperanan dalam menjaga asas aspek kesihatan pengguna dan ia tidak dapat disangkal lagi. Namun, tanpa sedar pengguna dimanipulasi oleh industri bagi mengaut keuntungan atas nama keperluan pengguna.

“Mekanisme yang tertangguh sejak 2018 itu berfungsi untuk memastikan kawalan terhadap ubat dan pengisytiharan harga ubat oleh pemborong. Akibat penangguhan itu, harga ubat di klinik swasta tidak telus berbanding klinik komuniti dan klinik rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata isu itu menyumbang kepada peningkatan inflasi dalam sektor kesihatan negara bagi tempoh tiga tahun berturut-turut pada kadar 15 peratus lebih tinggi berbanding purata global dan Asia Pasifik iaitu pada kadar 10 peratus.

“Pelaksanaan mekanisme ini kepada klinik swasta adalah asas bagi memastikan ketelusan harga ubat dalam pasaran, mengawal kenaikan inflasi dalam sektor kesihatan dan memberi pilihan yang sewajarnya kepada pengguna.

“Peraturan untuk mewajibkan pempameran harga ubat di farmasi dan klinik adalah penting bagi transparensi harga untuk pengguna, elak ketidaksamaan harga antara premis, menggalakkan persaingan sihat, memperkasa hak pengguna serta membantu pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan