AM

Harga Ubat: GP Perlu Jelaskan Isu Berdasarkan Kajian, Fakta Dan Data

01/05/2025 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) menyarankan pengamal perubatan am (GP) agar tampil secara kolektif dengan satu kertas pendirian berasaskan data, kajian dan amalan terbaik antarabangsa berkaitan isu meletakkan harga ubat-ubatan.

Exco MACFEA Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata sebagai barisan hadapan dalam sistem penjagaan kesihatan negara, GP seharusnya menjawab isu sebegini dengan pendekatan berdasarkan fakta dan penjelasan saintifik.

Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan GP dalam wacana dasar kesihatan negara malah dapat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perubatan swasta di Malaysia.

“Sebarang kebimbangan mengenai implikasi pendedahan harga ubat seperti kesan kepada model perniagaan klinik swasta, variasi kos logistik dan perolehan serta perbezaan formulasi ubat harus disampaikan secara telus dan bertanggungjawab agar dapat meyakinkan pihak kementerian serta rakyat Malaysia.

“Ketelusan dalam kos kesihatan adalah satu aspek penting dalam memastikan keadilan kepada pengguna,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pada masa sama, MACFEA juga menyokong sepenuhnya usaha murni kerajaan yang berusaha meningkatkan ketelusan harga dalam sektor perubatan swasta selaras dengan prinsip menekankan kebertanggungjawaban, integriti dan keadilan sosial.

 Beliau berkata langkah itu bukan sahaja membantu pengguna membuat pilihan yang lebih bermaklumat tetapi juga mengurangkan risiko manipulasi harga dan ketidaktelusan dalam kos rawatan

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan