SUKAN

Malaysia Diundi Bertemu China Pada Suku Akhir Piala Sudirman 2025

01/05/2025 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Kemampuan skuad badminton negara bakal diuji sepenuhnya apabila diundi bertemu pasukan tuan rumah China pada aksi suku akhir kempen Piala Sudirman 2025 yang dijadualkan berlangsung pagi esok. 

Pada majlis undian yang berlangsung di Xiamen, China sebentar tadi, Malaysia selaku naib juara Kumpulan C berdepan tugas paling getir apabila diundi bertemu juara 13 kali dan juara bertahan tiga edisi berturut-turut, yang juga juara Kumpulan A.

Keputusan undian suku akhir lain pula menyaksikan Jepun berhadapan Taiwan, Denmark menentang Korea Selatan sementara Thailand bertemu Indonesia.

Jika Malaysia berjaya melepasi peringkat suku akhir, skuad negara akan bertemu sama ada Jepun atau Taiwan di separuh akhir.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia terpaksa akur bergelar naib juara Kumpulan C selepas menang dua perlawanan masing-masing mengalahkan Perancis 5-0 dan  Australia 4-1 sebelum tewas kepada Jepun 2-3.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kempen Piala Sudirman ialah mara ke separuh akhir tiga kali iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan