AM

Sarawak Lancar Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar 2030 Pada Mei

01/05/2025 09:49 PM

KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak 2030 pada akhir Mei ini yang berfungsi sebagai hala tuju strategik bagi peralihan Bumi Kenyalang kepada ekonomi hijau.

Kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memaklumkan pelan itu akan dilancarkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ia menampilkan 10 teras strategik, 48 strategi dan 111 pelan tindakan yang menyasarkan pembangunan kapasiti tenaga boleh diperbaharui 10 gigawatt (GW) serta 70 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

"Dimuktamadkan baru-baru ini oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, pelan tindakan itu adalah perkara utama dalam perbincangan pada sesi meja bulat peringkat tinggi yang berlangsung hari ini di London School of Economics and Political Science (LSE).

"Sesi itu, yang diterajui Premier Sarawak bersama delegasinya, menghimpunkan para sarjana dan pakar bagi meneroka strategi kelestarian serta pembangunan hijau," menurut kenyataan itu.

Menurut UKAS, sesi itu adalah langkah penting dalam memperkukuh kerjasama akademik-dasar terutama dalam bidang pertumbuhan lestari dan daya tahan iklim.

“Dialog di LSE menekankan pertukaran perkongsian dan pengetahuan bagi memajukan cita-cita kelestarian negeri dengan komitmen bersama bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan penglibatan sosial,” katanya.

Acara itu adalah sebahagian daripada lawatan rasmi Premier Sarawak ke United Kingdom, yang bermula pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan LSE turut menzahirkan hasrat terhadap potensi kerjasama dengan Sarawak merentasi pelbagai bidang sepertu konservasi hutan, perkhidmatan kewangan, pendidikan dan perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan