PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau bekalan dan jualan telur ayam bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan susulan penamatan subsidi bagi barangan itu secara berfasa, bermula esok.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata pemantauan akan dilaksana secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Beliau berkata subsidi bagi telur ayam telah diperkenal ketika negara dilanda wabak COVID-19 yang menyaksikan berlaku gangguan kepada bekalan.
Bagaimanapun, Fahmi berkata Jemaah Menteri berpandangan keputusan KPKM untuk menamatkan subsidi secara berperingkat adalah wajar memandangkan stok serta penghasilannya kini stabil dan mencatatkan peningkatan.
"Keputusan yang dicadangkan oleh KPKM itu wajar bukan hanya daripada segi penjimatan subsidi itu sendiri, pada masa sama jumlah stok bekalan telur pada waktu ini lebih daripada mencukupi," katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan manakala kadar subsidi dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.
Menurut kenyataan KPKM, keputusan itu dibuat setelah pihak industri memberi komitmen untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin selain mengambil kira tempoh kawalan harga serta pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.
KPKM memberi jaminan bahawa langkah intervensi akan dilaksana bagi meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat susulan keputusan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial