POLITIK

PRK Ayer Kuning: SPR Sasar Lebih 70 Peratus Keluar Mengundi Sabtu Ini

22/04/2025 10:57 AM

TAPAH, 22 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 70 peratus pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Sabtu ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun menasihatkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab lebih awal pada 26 April ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata bagi proses pengundian awal hari ini, pihaknya menyasarkan lebih 90 peratus daripada 500 pengundi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Ramlan berkata proses pengundian awal di dua pusat pengundian iaitu Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor dan Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah yang dibuka serentak pada 8 pagi tadi berjalan lancar setakat ini.

“Setakat pukul 9 pagi tadi, 22.8 peratus pengundi awal telah keluar mengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, PGA di sini hari ini. 

Ramlan berkata kesemua 24 pengundi awal di IPD Tapah difahamkan telah selesai melaksanakan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan