TAPAH, 22 April (Bernama) -- Masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak keempat bukan penghalang buat seorang suri rumah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, hari ini.
Surya Mat, 40, sambil mendukung anak lelakinya berusia 32 hari dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibawa menggunakan kerusi roda ke pusat pengundian awal di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, pada 8.40 pagi.
"Saya masih berpantang tetapi tetap nak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berdaftar di sini. Ini kali ketiga saya mengundi di sini sepanjang 17 tahun menetap di Batalian 3 PGA," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Koperal Mahamat Udin, 59, berkata walaupun tidak lagi memiliki keupayaan seperti dahulu selepas terlibat kemalangan enam tahun lepas, dia tetap hadir dengan berkerusi roda demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Mahamat berkata undian hari ini mungkin yang terakhir sepanjang tempoh perkhidmatannya, sebelum bersara wajib pada September depan setelah hampir 40 tahun berkhidmat sebagai anggota polis.
“Ini juga kali pertama saya mengundi secara fizikal kerana sebelum ini hanya mengundi secara pos,” katanya.
Sementara itu, dua anggota polis teruja apabila kali pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat pengundian awal di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini.
Konstabel Muhammad Zaid Muhamad Zaidi, 20, berkata peluang mengundi kali pertama ini memberikan pengalaman baharu serta perasaan tanggungjawab yang mendalam terhadap negara.
"Apabila dah selesai mengundi, ada rasa puas hati sebab kita dah tunaikan apa yang wajib, lebih-lebih lagi bila kita sendiri yang pilih siapa pemimpin kita,” katanya.
Konstabel Muhammad Azizie Haqqiem Azman, 22, mengakui sedikit berdebar kerana kali pertama melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
Proses pengundian awal di dua pusat pengundian hari ini melibatkan 500 anggota polis dan pasangan mereka.
PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial