Tidak seperti dulu, menjadi petani pada zaman sekarang tidak lagi memerlukan seseorang itu berjemur di bawah panas terik mentari ataupun menggunakan tulang empat kerat bergelumang dengan tanah.
Sebaliknya, perkembangan teknologi menghasilkan pelbagai teknik moden untuk bertani, antaranya ialah kaedah fertigasi, iaitu satu sistem pertanian yang tidak melibatkan tanah dengan tanaman diberikan baja serta air dalam bentuk larutan melalui sistem pengairan titis.
Antara kelebihan sistem ini ialah pertanian dapat dijalankan dalam persekitaran terkawal dengan pemberian baja secara sistematik, penjimatan air serta mengelakkan penyakit bawaan tanah. Hasil yang dikeluarkan pula lebih berkualiti.
Faktor-faktor tersebut cukup untuk menarik perhatian Mohammad Amril Hussain, 38, mencuba nasib dalam bidang yang masih dianggap "kerjaya kampung" itu pada 2019.
Kini, selepas hampir enam tahun bergelar petani sepenuh masa, beliau yang pada ketika itu bekerja sebagai perunding insurans, bersyukur keputusannya untuk melibatkan diri dalam penanaman timun secara fertigasi berjaya memberikan beliau pendapatan yang stabil dan cukup lumayan.
SEKADAR MENCUBA
Mengimbas semula penglibatannya dalam pertanian, Mohammad Amril berkata sebagai perunding insurans, pendapatannya tidak menentu, membuatkan beliau berhasrat mencari pekerjaan lain.
pic-2
“Ketika tercari-tercari kerjaya baharu, saya lihat banyak program berkaitan pertanian di kaca TV. Dari situ terdetik hasrat untuk mencuba. Kebetulan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat membuka peluang kepada masyarakat menyertai mereka dalam program fertigasi berkelompok.
“Saya tidak berfikir panjang dan terus rebut peluang itu,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mesra disapa Amril, beliau berkata sekalipun bukan daripada keluarga petani dan sifar ilmu pertanian, beliau membulatkan tekad untuk menceburi bidang itu.
“Sebagai persediaan, saya ikuti kursus anjuran PPK. Memang pada peringkat awal banyak yang perlu dipelajari, misalnya tentang cara penanaman yang betul, macam mana nak jaga tanaman dan sebagainya. Waktu ini saya banyak terima ilmu daripada pegawai (PPK). Kerja di ladang juga dipantau oleh PPK,” katanya yang mengusahakan timun secara fertigasi di Telok Mengkuang, Telok Panglima Garang, Selangor.
Mengakui agak sukar untuknya menyesuaikan diri di ladang semasa tahun pertama penglibatannya, Mohammad Amril berkata beliau berpegang pada pepatah alah bisa tegal biasa.
“Memasuki tahun ketiga, saya sudah memahami selok-belok penanaman timun ini dan tidak lagi ada masalah bekerja di ladang. Lebih-lebih lagi pertanian fertigasi ini membolehkan kita mengaplikasikan teknologi moden seperti IoT (Internet Pelbagai Benda),” katanya.
GUNA TEKNOLOGI KOMUNIKASI
Berkongsi lanjut, Mohammad Amril berkata kaedah fertigasi mengubah cara kerja usahawan tani sepertinya, kerana mereka kini dapat memanfaatkan inovasi dan teknologi maklumat seperti IoT yang memudahkan kerja mereka di lapangan.
pic-3
“Menerusi fertigasi, kita mengintegrasikan teknologi IoT bagi mengawal pembajaan dan penyiraman. Semua itu dapat dilakukan dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar,” katanya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.
Menerusi IoT juga beliau dapat memantau kelembapan dan keperluan air baja secara automatik yang memastikan tanaman menerima penjagaan optimum pada sepanjang masa.
“Dulu, tanpa teknologi, petani perlu berada di ladang berjam-jam untuk membaja dan menyiram. Kini semuanya di hujung jari.
“Penggunaan teknologi juga membantu menjimatkan kos, khususnya tenaga kerja. Malah, keperluan baja tanaman kita juga dipantau sejak dari semaian hingga pokok timun ini matang. Setiap peringkat tumbesaran tanaman memerlukan sukatan baja yang berbeza.
“Kuantiti baja yang mencukupi pada setiap pokok adalah penting agar tanaman timun ini dapat mencapai tumbesaran yang seragam,” katanya, menambah dengan sistem yang ada mereka hanya perlu turun ke ladang sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.
pic-4
Menurut beliau lagi, penggunaan teknologi itu juga meningkatkan pengeluaran hasil dan kualiti.
“Kita dapat hasilkan timun bergred tinggi dengan setiap tiga biji mencapai berat purata satu kilogram,” katanya.
JANA PENDAPATAN
Mengulas lanjut, Mohammad Amril berkata sebagai peserta berkelompok, beliau diberikan 2,000 unit polibeg.
“Berrmula dari semaian hingga penuaian hasil hanya mengambil masa kira-kira lima minggu. Timun dituai sebulan sekali dan setiap polibeg mampu menghasilkan hingga lima kilogram timun.
“Pihak PPK ada sasaran mereka sendiri, iaitu peserta perlu mengeluarkan minimum 10 tan metrik timun daripada 2,000 polibeg itu,” jelasnya.
pic-5
Menurut beliau lagi, pendapatan peserta juga bergantung pada jumlah hasil yang dituai, dengan secara purata mereka mampu meraih RM6,000 ke RM8,000 setiap tuaian.
Sementara itu, Pengurus Besar PPK Kuala Langat Ahmad Firdaus Abdul Halim berkata pihaknya komited dalam membantu peserta menjana pendapatan tinggi daripada hasil tanaman mereka.
Beliau berkata penggunaan teknologi terkini turut memastikan usahawan tani memperoleh pendapatan lebih stabil melalui kaedah pertanian yang lebih moden dan sistematik.
“Ladang ini berkeluasan dua hektar, berkapasiti 18,000 polibeg. Setakat ini seramai sembilan peserta berjaya dalam penanaman timun secara fertigasi ini,” katanya, menambah ladang timun tersebut dikawal sepenuhnya menerusi teknologi IoT.
BANTU USAHAWAN TANI
Ahmad Firdaus berkata PPK bukan sekadar memberikan kursus dan latihan kepada petani, malah turut membantu menjual hasil tanaman mereka kepada pihak berkaitan.
pic-6
“Kesemua hasil timun yang dipetik akan dibawa ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) PPK Kuala Langat.
“Kemudian kita akan bantu petani mencari pembeli borong, edar ke pasar raya atau kilang-kilang untuk memastikan hasil timun fertigasi ini dapat dijual pada harga kompetitif,” tambahnya.
Selain itu, PPK turut menerima peruntukan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang bagi membantu usahawan tani dari segi menaik taraf kawasan ladang.
“PPK Kuala Langat ini turut menjadi pusat transformasi pertanian dan tempat rujukan usahawan serta para petani yang menerima guna teknologi terkini dalam usaha menghasilkan tanaman berkualiti tinggi.
“Kita percaya, melalui sokongan berterusan, penanaman timun ini mampu memberikan pulangan lumayan kepada petani dan secara tidak langsung turut membangunkan sektor pertanian di kawasan sekitar Telok Panglima Garang ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial