KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Sapura Energy Bhd (SEB) memperoleh beberapa kontrak kapal sokongan luar pesisir (OSV) di Malaysia dan Thailand yang bernilai hampir RM100 juta.
Dalam satu kenyataan, SEB berkata kontrak itu akan memastikan bot kerja penginapan dan kapal geosurvey syarikat beroperasi untuk tempoh lanjutan sepanjang tahun kewangan 2026.
“Kontrak itu termasuk penyewaan dua bot kerja berkapasiti 200 orang, KPV Redang dan Sapura Duyong bagi menyokong operasi luar pesisir di Malaysia Timur.
“Bagi KPV Redang, kontrak bermula pada Februari untuk tempoh setahun, dengan pilihan lanjutan satu tahun, manakala untuk Sapura Duyong bermula pada Mac dan berjalan selama lapan bulan, dengan pilihan lanjutan selama dua bulan tambahan,” katanya.
SEB juga berkata bot kerja penginapan luar pesisir berkapasiti 200 orang, Sapura Aman, memperoleh penyewaan selama 245 hari dengan pilihan lanjutan 90 hari lagi dengan pengendali Malaysia.
"Selain itu, anak syarikat SEB, Sapura Offshore Sdn Bhd menggunakan bot kerja penginapan OSV berkapasiti 300 orang iaitu Sapura 300, untuk tempoh 30 hari. Kedua-dua kapal akan menyediakan perkhidmatan penginapan untuk krew luar pesisir di Malaysia," kata SEB.
Ia berkata kontrak di Thailand melibatkan perkhidmatan penggerudian tanah geoteknikal menggunakan Sapura Wira untuk menyokong penggerudian di medan minyak Rossukon di Teluk Thailand.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif bahagian operasi dan penyelenggaraan (O&M) SEB, Nasri Mehat berkata kontrak-kontrak yang diraih itu adalah bukti kepercayaan pelanggannya terhadap keupayaan SEB untuk menyediakan perkhidmatan sokongan luar pesisir.
“Pada tahun kewangan 2025, kami mencapai 99 peratus masa beroperasi untuk semua OSV kami dan mengekalkan rekod keselamatan yang sempurna, dengan sifar kejadian dan sifar kehilangan masa (LTI).
“Banyak kapal kami telah mengekalkan rekod LTI sifar selama bertahun-tahun dan ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dan keselamatan operasi, dan kami berazam untuk mengekalkan rekod prestasi ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial