KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Petronas Energy & Gas Trading Sdn Bhd (PEGT) meraih tambahan bekalan gas sebanyak 155 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) melalui sistem saluran paip gas Trans Thailand-Malaysia yang menjadikan jumlah keseluruhan kepada 400 mmscfd.
Langkah itu diambil bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan gas susulan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor dengan memperoleh tambahan jumlah bekalan gas ke kawasan yang terjejas.
"Bekalan gas tambahan ke kawasan utara Semenanjung termasuk Bestari Jaya, Meru dan Kapar berjaya menstabilkan bekalan selain mengurangkan kekurangan bekalan di kawasan utara dan tengah," kata PEGT dalam satu kenyataan hari ini.
PEGT berkata pihaknya menyediakan tambahan bekalan gas sebanyak 86 mmscfd ke Serdang City Gate bagi rangkaian Pengedaran Lembah Klang yang saling bersambung.
“Kami sedang bekerjasama dengan Gas Malaysia Bhd untuk meningkatkan kapasiti bekalan rangkaian pengedaran gasnya,” kata PEGT.
Menurut syarikat itu, sebanyak empat loji jana kuasa terjejas pada peringkat awal iaitu Connaught Bridge, Pulau Indah, Serdang dan Kapar.
“Namun begitu, bekalan gas ke loji jana kuasa Kapar dan Serdang dipulihkan dan kedua-dua kemudahan tersebut menyambung semula operasi seperti biasa. Selain itu, PEGT juga memudahkan pembekalan gas kepada Kapar Energy Ventures bagi menyokong keperluan permulaan unit.”
“PEGT kekal komited untuk memastikan kestabilan bekalan gas dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak berkepentingan yang terlibat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial