AM

Rakyat Malaysia Kongsi Kesedihan, Kenang Jasa Tun Abdullah

15/04/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pemergian Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi begitu dirasai oleh rakyat Malaysia yang berkongsi kesedihan dan penghormatan terakhir mereka di laman sosial.

Rata-rata mereka menyatakan penghargaan kepada Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah, atas sumbangan dan jasanya kepada negara semasa menerajui pentadbiran negara dari 2003 hingga 2009.

Penulis buku sejarah dan geopolitik Ayman Rashdan Wong menyifatkan negarawan itu seorang yang tenang, berhemah dan membawa pendekatan diplomasi sederhana tetapi bijaksana.

Beliau berkata satu daripada langkah paling genius dalam era pentadbiran Allahyarham ialah penganjuran Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pertama ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2005.

“EAS menghimpunkan ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan, tiga kuasa besar Asia Timur yang sering bertelagah, tetapi berjaya duduk semeja melalui EAS,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ayman Rashdan berkata EAS yang kini turut melibatkan Amerika Syarikat, Australia, India, New Zealand dan Rusia menjadi asas kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang kini menjadi blok perdagangan terbesar dunia.

“Dengan EAS, ASEAN bukan lagi sekadar blok Asia Tenggara. ASEAN mula membawa makna Asia Timur, Asia Pasifik, dan Indo-Pasifik,” katanya.

Pengguna platform X, Thevesh berkata Malaysia telah kehilangan seorang tokoh demokrasi yang hebat dan menzahirkan penghargaan terhadap jasa negarawan itu.

“Pak Lah menang lapan Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut dari PRU5 (1978) hingga PRU12 (2008), semua di Kepala Batas (Pulau Pinang). Saya percaya sejarah akan menulis tentang beliau sebagai tokoh ulung yang melangkaui zamannya,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Pempengaruh sosial media Richard Ker berkata Malaysia kehilangan seorang tokoh yang membuktikan kekuatan tidak semestinya ditunjukkan dengan bersuara lantang.

“Malaysia bersedih atas kehilangan seorang tokoh besar yang bersifat tenang,” kata Ker dalam satu hantaran di platform X.

Seorang lagi pengguna platform sama, Vena Taruddin berterima kasih kepada Allahyarham yang memperkenalkan inisiatif buku teks percuma, kempen ‘Budi Bahasa Budaya Kita’, Islam Hadhari dan slogan Pertanian adalah Perniagaan.

“Kepimpinannya aman dan tenang. Polisinya memberi impak. Semoga ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Seorang warga Kepala Batas Aimar Adam berkata Malaysia kehilangan mutiara Pulau Pinang dan menzahirkan penghargaan atas segala perubahan dan sumbangan Tun Abdullah kepada negara.

“Malaysia Hadhari menjadi slogan sejarah dalam membentuk sebuah masyarakat majmuk bertamadun. Rehatlah dengan tenang wahai Bapa Pembangunan Modal Insan Negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pengguna media sosial lain turut menghargai sumbangan bekas perdana menteri itu antaranya menaikkan gaji penjawat awam, memperkenalkan program J-Qaf dalam pengajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain serta inisiatif keselamatan makanan dan memperkasa sektor pertanian negara.

Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan