KOTA KINABALU, 16 April (Bernama) -- Sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata projek itu dilaksanakan dalam setiap pelan pembangunan lima tahun Rancangan Malaysia meliputi bahagian Kudat, Pantai Barat, Pedalaman, Sandakan dan Tawau.
“Projek ini bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk menampung keperluan dan menambah baik infrastruktur sedia ada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar berdaya mampan untuk jangka panjang,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih atas Ucapan Dasar Kerajaan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman melibatkan kementeriannya.
Shahelmey berkata projek itu adalah Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, Reka Bentuk dan Sistem Pembinaan Empangan Air, Pembinaan Loji Rawatan Air Kundasang, Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Semporna, Skim Bekalan Air di Lahad Datu Fasa 1 dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.
Projek lain termasuk Menaiktaraf Sistem Bekalan Air Kota Marudu, Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon termasuk Saluran Paip Utama, Menaiktaraf Sistem Bekalan Air termasuk Tangki Simpanan Sandakan dan Pembinaan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 Tawau.
Selain itu, Menaik Taraf Loji Rawatan Air Kasigui bagi Bekalan Air Daerah Putatan, Pembinaan Loji Rawatan Air dan Sistem Agihan serta Tangki Simpanan bagi Kawasan Sri Putatan Bikang Lahad Datu, Program Air Tidak Berhasil Nasional Pendekatan 1 Fasa 2 dan Skim Bekalan Air Ulu Padas Fasa 1.
“Pembinaan empangan air di Tawau itu melibatkan kapasiti 30 juta meter padu, manakala pembinaan loji rawatan air baharu di Kundasang, Semporna, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar, Putatan, Tawau dan Beaufort itu pula melibatkan jumlah kapasiti keseluruhan 630 juta liter air sehari,” katanya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim ketika menggulung perbahasan itu melibatkan kementeriannya berkata 4,028 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dibina setakat 8 April lepas, dengan kos pembinaan antara RM80,000 hingga RM85,000.
Beliau berkata jumlah itu 90 peratus daripada kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ, yang diberikan kepada penduduk Sabah kurang bernasib baik terutama miskin dan miskin tegar bagi 2022 hingga tahun lepas, manakala baki 10 peratus atau 454 unit lagi sedang dalam perlaksanaan.
“Bagi kuota tahun ini, semuanya masih dalam peringkat prapelaksanaan. Bagaimanapun setakat ini kementerian saya tidak membenarkan pembinaan rumah atas air, termasuk di kawasan laut, sungai dan tebing sungai.
“Keputusan ini diambil berdasarkan pengajaran Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di atas air, yang akhirnya mengalami kerosakan serta roboh akibat hakisan dan arus air. Di samping itu, keselamatan penghuni perlu diambil kira dan kos pembinaan dijangka melebihi kos siling,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial