Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat yang menduduki tangga teratas dalam senarai 10 universiti terbaik dunia, sering dianggap sebagai institusi sukar ditembusi oleh pelajar Malaysia.
Tanggapan itu tidak keterlaluan kerana difahamkan MIT juga disenaraikan sebagai universiti nombor satu dunia oleh QS World University Rankings selama 13 tahun berturut-turut.
Namun, tanggapan itu disanggah oleh Leia Mayssa Masyerin, 18, alumni Pusat PERMATA@Pintar Negara (PPPN) yang mencipta sejarah menjadi satu-satunya pelajar sarjana muda dari Malaysia yang berjaya menempah tempat di universiti berprestij tersebut untuk tahun ini.
Bakal melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer selama empat tahun bermula Ogos ini, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mengakui bahawa peluang tersebut bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan.
“Sukar untuk percaya impian belajar di universiti sehebat itu menjadi realiti bagi saya.
"Tidak pernah terlintas di fikiran yang saya akan dapat melanjutkan pengajian di sana. Namun, saya tetap mengimpikannya, dan sekarang saya berjaya menggapai impian itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPPN, di sini baru-baru ini.
MIT yang terkenal dengan mercu tanda ikoniknya Great Dome, turut mengungguli QS World University Rankings di kedudukan pertama dalam 11 bidang subjek bagi 2025.
Berdasarkan laman web MIT, institusi itu di kedudukan No. 1 dalam bidang subjek QS berikut: Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan Awam dan Struktur; Sains Komputer dan Sistem Maklumat; Sains Data dan Kecerdasan Buatan; Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik; Linguistik; Sains Bahan; Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pengeluaran; Matematik; Fizik dan Astronomi; serta Statistik dan Penyelidikan Operasi.
PERMATA@PINTAR MAIN PERANAN UTAMA
Bagi Leia Mayssa, selain sokongan daripada ibu bapa, PPPN yang lebih dikenali sebagai Kolej PERMATA@Pintar, turut menjadi tunjang utama dalam membantunya merealisasikan impian untuk melanjutkan pengajian di universiti.
pic-2
“Terima kasih, PERMATA@Pintar. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan saya di Permata. Kepada guru-guru yang tak pernah jemu membantu dan membimbing, jasa kalian tidak akan saya lupakan.
“Permata bukan sekadar tempat belajar, tetapi rumah kedua yang penuh dengan kenangan manis. Setiap detik di sini akan sentiasa tersemat di hati. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sentiasa menjadi inspirasi untuk saya terus berusaha dan menjadi lebih baik,” katanya.
Tidak menafikan peranan High School Diploma (HSD) PERMATA@Pintar sebagai asas kejayaannya memasuki MIT, Leia percaya bahawa laluan yang lebih mudah itu terhasil daripada penglibatannya dalam Olympiad Matematik Antarabangsa Dunia (IMO) selaku wakil Malaysia, dari 2022 hingga 2024.
“Program HSD yang banyak membantu dalam persediaan ke universiti selain guru-guru yang mengatur jadual saya agar saya dapat mewakili negara dalam IMO - saya amat bersyukur dan berterima kasih.
“Kepada Jawatankuasa IMO dan jurulatih saya yang sentiasa memberi galakan dan semangat untuk menerokai dunia matematik, serta Mara (Majlis Amanah Rakyat) yang telah merealisasikan impian saya untuk ke MIT- saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan,” katanya
Leia bergelar warga PPPN pada 2020 ketika berusia 13 tahun, dan setakat ini dia telah mewakili Malaysia dalam IMO di Oslo, Norway pada 2022, Chiba, Jepun (2023) dan Bath, United Kingdom (2024). Baru-baru ini, ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, Leia berada di Konjic, Bosnia and Herzegovina kerana menyertai edisi ketiga ‘Maths Beyond Limits Balkans 2025’.
ASET UKM
Menurut Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara (PPPN), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ismanizan Ismail, kolej yang ditubuhkan pada 2009 itu bukan sahaja menyediakan platform pendidikan, tetapi juga membangkitkan kesedaran serta memberi motivasi kepada generasi baharu untuk melibatkan diri dalam bidang STEM.
pic-3
“Kepintaran pelajar di PERMATA@Pintar ini sangat unik jika kita pupuk dengan baik. Mereka inilah yang memberi sumbangan serta aset yang besar kepada negara,” katanya.
Katanya, PERMATA@Pintar merupakan satu program khas atau bitara, yang mempunyai sukatan pelajaran bersesuaian dengan tahap intelek pelajar dalam membentuk insan yang cemerlang atau terkedepan.
“Seiring untuk memperjuangkan murid pintar intelek semula jadi ini, kita menyediakan kokurikulum yang setara dengan kelebihan masing-masing.
“Keupayaan atau unik PERMATA@Pintar ini sebab dikelilingi ekosistem yang bagus, iaitu dapat menggunakan kelebihan yang ada dengan merujuk pensyarah-pensyarah di UKM sendiri,” katanya.
Yang lebih istimewa, beliau berkata PPPN meletakkan lima komponen utama yang dinilai sebagai Purata Nilai Gred (CGPA) pelajar bagi membolehkan mereka memperoleh HSD PERMATA@Pintar.
“Selain komponen akademik, portfolio, jati diri dan kokurikulum, 10 peratus adalah dari segi penyelidikan serta penulisan laporan penyelidikan, iaitu semua wajib melengkapkannya dengan kerjasama pensyarah-pensyarah di setiap fakulti di UKM.
“Kita nak menanam bakat atau minat mereka dari sekolah lagi terhadap keunikan tersebut. Hasrat penubuhan kolej permata pintar ini untuk mendekatkan pelajar dengan STEM,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai PERMATA@Pintar, Ismanizan berkata kolej itu membentuk dan menghasilkan kemenjadian holistik pelajar pintar berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Bukan itu sahaja, HSD juga diiktiraf atau boleh diterima guna untuk memohon melanjutkan pengajian di luar negara, katanya.
“HSD ini diwujudkan bagi memberi peluang dan pilihan kepada pelajar pintar dan berbakat ini supaya mereka mempunyai laluan akademik yang lebih luas untuk bergerak ke depan.
“Nilai HSD itu mula diiktiraf dan beri mereka peluang mendapat tempat di universiti yang hebat bukan saja di Amerika Syarikat malah di United Kingdom,” katanya.
PROSES PEMILIHAN
Sementara itu, Timbalan Pengarah PPPN Mohd Hakimie Zainal Abidin berkata pusat tersebut menjalankan proses pemilihan pelajar setiap tahun menerusi ujian UKM1 dan UKM2, iaitu ujian yang melibatkan kecerdasan intelek (IQ) buat mereka yang berumur lapan hingga 15 tahun.
pic-4
Katanya seorang pelajar harus mempunyai skor IQ sekurang-kurangnya 130 dan umur mental melebihi tiga tahun berbanding umur biologi untuk menyertai program itu.
“Bagi mereka yang berjaya melepasi ujian UKM2, mereka akan dipilih menyertai Program Pengayaan Cuti Sekolah, dan pada masa sama akan dijalankan ujian UKM3 yang melibatkan sesi temu bual dan ujian kompetensi STEM serta pelbagai ujian psikologi.
“Pelajar yang lulus UKM3 akan ditawarkan tempat di PPPN. Namun begitu, selain PPPN, ada dua lagi institusi yang menawarkan sesi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, iaitu Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia di Negeri Sembilan dan Akademi Sains Pendang, Kedah,” katanya.
Beliau berkata ibu bapa yang mempunyai anak pintar dan berbakat boleh mengintai peluang mengikuti program tersebut dengan mendaftarkan anak mereka di laman web https://ukm1.permatapintar.ukm.my yang berlangsung sejak 10 Mac lepas hingga 31 Mei ini.
Beliau yang juga kaunselor kepada Leia sejak remaja itu mendaftar diri pada 2020, berkata pelajar tersebut menunjukkan pencapaian akademik cemerlang hingga 95 peratus untuk semua mata pelajaran pada 2021.
“Leia ini generasi yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika negara dilanda wabak COVID-19 selepas sebulan dua mengikuti program PERMATA@Pintar.
“Namun, dengan pencapaiannya itu, kita tawarkan dia dan dua lagi rakannya menjalani program pecutan pembelajaran yang melibatkan pecutan kurikulum, dan dia satu-satunya yang sahut untuk terima program ini,” katanya.
TAJAAN BUAT ANAK PERMATA@PINTAR
Menurut Mohd Hakimie, Leia merupakan satu-satunya pelajar yang mencipta sejarah dengan meraih tempat di MIT serta menerima Biasiswa Khas Pelajar Cemerlang daripada Mara.
pic-5
Sementara itu, beliau berkata penajaan dalam negara bagi kelangsungan para pelajar pintar dan berbakat tersebut amat penting dalam memastikan mereka mendapat pendidikan di universiti bertaraf dunia, selaras dengan tahap intelek mereka.
Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat korporat di negara ini agar membina kerjasama dengan PPPN dalam menyalurkan penajaan kepada pelajar pintar.
“PERMATA@Pintar ini ada ramai pelajar yang berbakat dan saya yakin kejayaan Leia ini telah membuka mata ramai pihak, dan selain tanggungjawab PPPN membantu mereka melanjutkan pelajaraan, kita juga mengharapkan tajaan.
“Membantu mereka dari segi pendidikan di PERMATA@Pintar adalah satu daripada komitmen kami sebagai tenaga pengajar. Apabila mereka masuk universiti, tanggungjawab adalah pada badan penaja. Kita minta badan penaja di luar sana sambutlah mereka untuk menjadi bakat kepada negara.
“Mereka perlu lihat bakat ini... jangan tunggu. Ada badan penaja suruh buat yayasan dan lain-lain, tetapi mereka ini sudahpun berjaya mendapat tempat di universiti,” katanya sambil menambah ada pelajar yang terpaksa melepaskan peluang melanjutkan pengajian atas faktor ketiadaan tajaan.
SOKONGAN IBU BAPA
Bagi Norashidah Wahab, ibu kepada Leia Mayysa, bakat dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh anaknya itu menyerlah sejak di alam sekolah rendah lagi, apabila sering mengharumkan nama dengan kemenangan demi kemenangan dalam pelbagai pertandingan.
pic-6
“Masa masuk sekolah menengah, sebagai ibu bapa kita fikir ke mana nak hantar Leia. Kami pilih beberapa buah sekolah, tetapi disebabkan oleh PERMATA@Pintar ini program bagi kanak-kanak berbakat, maka kami mahu dedahkan dia kepada kanak-kanak berbakat lain,” katanya.
Jelasnya, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ketika diterima masuk ke PERMATA@Pintar, Leia Mayssa tetap menunjukkan kesungguhan luar biasa dalam menimba ilmu.
“Kemudian COVID-19 tiba, memang tidak kena masa tetapi kami tidak menyesal. Saya rasa, keputusan letakkan dia di situ adalah yang terbaik keranaa hanya menerusi PERMATA dia dapat lakukan semua ini. Mungkin tidak ada sekolah yang dapat terima dia untuk ambil Sijil Pelajaran Malaysia pada usia 16 tahun,” tambahnya, menutup bicara.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial