EKONOMI > BERITA

TEMPOH 90 HARI BERI RUANG MALAYSIA TERUSKAN EKSPORT KE AS SEPERTI BIASA - JOHARI

14/04/2025 08:26 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Malaysia masih dapat meneruskan aktiviti eksport komoditi ke Amerika Syarikat (AS) seperti biasa dalam tempoh 90 hari ini, susulan langkah penangguhan sementara tarif baharu yang dikenakan oleh negara itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata tempoh penangguhan tarif itu memberi ruang kepada Malaysia dan negara lain untuk menilai impak serta merangka langkah seterusnya dalam menghadapi tarif baharu.

“Disebabkan mereka beri tempoh 90 hari, kita masih boleh jalan macam biasa,” katanya kepada media selepas majlis pembukaan rasmi Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan (FACT) 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkena tempias dasar tarif mendadak yang dikenakan oleh AS ke atas barangan import dari seluruh dunia, termasuk produk komoditi.

Johari berkata Malaysia mengeksport produk komoditi bernilai kira-kira RM21 bilion setahun ke AS, melibatkan empat komoditi utama -- produk sawit, getah, perabot, dan koko termasuk produk seperti serbuk koko dan mentega koko.

Beliau berkata walaupun kadar tarif asas kekal pada 10 peratus namun, ia perlu ditangani secara diplomatik.

“Saya rasa Malaysia tak boleh elak kerana semua negara akan kena, jadi kita kena rundinglah,” katanya.

Johari berkata bagaimanapun, Malaysia mempunyai sedikit kelebihan berbanding Indonesia dalam hal ini.

Sementara itu, bagi sektor getah, Johari mengingatkan bahawa daya saing Malaysia mungkin terjejas sekiranya China menggunakan keupayaan kapasiti pengeluarannya yang besar untuk menembusi pasaran bukan AS dengan harga yang lebih rendah.

“Produk getah kita mungkin lebih kompetitif berbanding China di pasaran AS. Tapi kalau China tawar harga lebih rendah ke negara-negara lain, itu boleh jejaskan pasaran kita juga,” katanya.

Mengulas secara keseluruhan, beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi menguruskan eksport bernilai RM186 bilion setahun, dengan RM120 bilion daripadanya adalah daripada sawit dan produk berkaitan.

“Total komoditi yang kita eksport dari kementerian ini ialah RM186 bilion. Lebih kurang RM120 bilion adalah daripada sawit dan produk sawit, selebihnya daripada komoditi lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan