KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- MSB Global Group Bhd berkata tarif Amerika Syarikat (AS) akan memberi kesan minimum kepada operasi perniagaan syarikat berikutan rantaian bekalan dan tumpuan pasaran syarikat itu masih tertumpu terutamanya di Asia.
Pengedar alat ganti dan komponen automotif itu yang mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini berkata, ia mengimport kebanyakan produk dari China dan memberikan perkhidmatan kepada pasaran domestik, dengan menyasarkan pengembangan di Asia Tenggara.
“Tarif AS tidak akan memberi kesan secara langsung kepada syarikat. Produk kami diperoleh dari China dan sasaran pasaran kami kekal di dalam negara.
“Tumpuan pengembangan kami akan kekal di Asia Tenggara pada masa hadapan,” kata Pengarah Eksekutif MSB Global Ow Chen Lun pada sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian kumpulan itu di sini hari ini.
Ia mengumpul hasil kasar sebanyak RM26.60 juta melalui terbitan sebanyak 133.00 juta saham baharu.
Ia akan memperuntukkan 22.58 peratus daripada hasil berkenaan untuk membeli mesin dan peralatan baharu, 20.67 peratus bagi membayar balik pinjaman bank dan 18.70 peratus untuk membina sebuah kilang dan gudang baharu di Ulu Tiram, Johor Bahru.
Ow berkata sebanyak 17.99 peratus untuk tujuan modal kerja, 16.92 peratus bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian dan 3.14 peratus untuk membiayai pelancaran pengecas EV berjenama dalaman.
Menurutnya penyusutan nilai dolar AS baru-baru ini telah membantu mengurangkan kos perolehan syarikat sekali gus menjadi penampan kepada tekanan luaran.
"Kami mengekalkan hubungan yang erat dengan pembekal utama kami di China. Ini telah memberikan kami fleksibiliti dan membantu menguruskan turun naik kos.
"MSB Global telah bekerja (dengan mereka) selama 23 tahun. Jika terdapat (sebarang) perubahan pasaran atau peningkatan kos, kami yakin mereka akan menyokong kami," katanya.
Selepas penyenaraiannya, Ow berkata MSB Global menyasarkan untuk menjadi pengubah landskap dalam industri perkhidmatan automotif selepas jualan sebagaimana Mr DIY dan 99 Speedmart merevolusikan sektor masing-masing.
"Hari ini menandakan permulaan kepada satu transformasi. Kami melihat kami menjadi tempat pertama di Malaysia untuk mengkorporatkan pasaran perkhidmatan dan penyelenggaraan kereta, yang pada masa ini berasingan," katanya.
Sama seperti peralihan kedai perkakasan tradisional dan kedai serbaneka menjadi sebagai rangkaian di seluruh negara, beliau yakin MSB Global boleh menambah baik perkhidmatan penyelenggaraan kereta sebagai rangkaian yang berstruktur dan diuruskan secara profesional.
Pada 10.40 pagi, harga saham kumpulan itu susut tiga sen atau 15 peratus kepada 17 sen daripada harga tawaran awam permulaan pada 20 sen dengan 38.82 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial