EKONOMI > BERITA

ASEAN KEKAL RAKAN DAGANG TERBESAR CHINA, SUMBANG 16.6 PERATUS BAGI SUKU PERTAMA 2025

15/04/2025 07:01 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 15 April (Bernama) -- ASEAN mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar China bagi tempoh suku pertama 2025 dengan menyumbang 16.6 peratus daripada jumlah perdagangan asing Beijing, kata pihak Pentadbiran Am Kastam (GAC) China.

Jumlah dagangan itu merupakan peningkatan sebanyak 7.1 peratus kepada 1.71 trilion yuan (US$234.17 bilion) tahun ke tahun dengan Vietnam menjadi rakan dagang terbesar China dengan nilai 0.46 trilion yuan atau peningkatan sebanyak 10.5 peratus.

Jurucakap GAC Lu Daliang berkata produk pembuatan menyumbang sebanyak 90.1 peratus daripada perdagangan China dengan negara-negara ASEAN.

“Pada suku pertama 2025, China mengimport produk pertanian bernilai 52.65 bilion yuan dari negara-negara ASEAN iaitu peningkatan sebanyak 13.8 peratus.

“Nilai eksport China bagi produk pertanian ke negara-negara ASEAN meningkat 1.4 peratus kepada 37.92 bilion yuan,” katanya yang dipetik dalam laporan Global Times di sini.

 Lu berkata kesalinghubungan pembinaan infrastruktur antara China dan negara-negara ASEAN mencatat perkembangan stabil dan membuka lagi ruang bagi kelancaran pertukaran perdagangan serta meningkatkan hubungan ekonomi.

Selain itu, rundingan bagi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 juga telah dimuktamadkan.

“Kedua-dua pihak akan meningkatkan kerjasama saling menguntungkan dalam industri baharu muncul seperti ekonomi digital dan hijau selain kesalinghubungan rantaian bekalan serta meningkatkan integrasi dalam bidang seperti piawaian dan peraturan," katanya.

Dalam pada itu, Kesatuan Eropah muncul rakan dagang kedua terbesar China dengan jumlah perdagangan pada 1.30 trilion yuan atau peningkatan sebanyak 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ini diikuti oleh Amerika Syarikat yang bernilai 1.11 trilion yuan (+4.0 peratus), Korea Selatan pada 0.53 trilion yuan (-0.1 peratus) dan Jepun 0.52 trilion yuan (+0.5 peratus).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan