EKONOMI > BERITA

MALAYSIA MAHU KETENGAH DASAR MAMPAN DI SERATA ASEAN - NIK NAZMI

15/04/2025 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Malaysia komited dalam usaha memacu peralihan hijau yang bukan setakat merangkumi kawasan sempadannya, malah di serata Asia Tenggara selain akan terus mengetengahkan dasar, teknologi serta amalan mampan yang memberi manfaat ke atas seluruh rantau itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata salah satu tonggak utama peralihan itu adalah berkaitan tenaga kerja bagi tenaga boleh baharu (TBB).

“Pada 2019, Malaysia menggaji sebanyak 54,300 pekerja dalam industri solar yang turut menjadikan negara ini sebagai peneraju di ASEAN bagi pekerjaan fotovoltan solar (PV). 

“Angka itu dijangka terus meningkat dengan pelancaran program Solar Berskala Besar Kelima (LSS5) yang dijadual bermula pada 2025," katanya ketika menyampaikan ucaptama secara maya pada Forum Perniagaan Jerman-Malaysia kelima di sini hari ini.  

Nik Nazmi juga menyifatkan tenaga kerja mahir sebagai penting dalam menyokong pertumbuhan sektor TBB Malaysia, khususnya dalam tenaga solar dan hidroelektrik -- dua bidang yang menyaksikan Malaysia mencatat pencapaian bermakna.

“Dalam usaha kita terus mengembangkan kemampuan TBB Malaysia, tenaga kerja ini pastinya kekal menjadi nadi transformasi ini,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia juga telah mengukuhkan kedudukannya sebagai hab antarabangsa utama bagi pembuatan komponen PV dengan enam daripada 10 syarikat solar PV terbesar di dunia beroperasi dalam lingkungan sempadannya.

Malaysia yang terletak di kawasan yang menerima banyak cahaya matahari, turut menjadikannya sebagai lokasi ideal bagi tenaga solar, katanya.

Pada masa sama, kemajuan berkaitan dapat dilaksanakan menerusi rangka kerja dasar yang jelas dan berwawasan seperti pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang berperanan sebagai rangka kerja kritikal bagi peralihan tenaga Malaysia dalam masa beberapa dekad akan datang. 

Beliau berkata Malaysia menawarkan asas kukuh bagi industri solar global kerana mempunyai le barisan tenaga kerja mahir dalam elektronik dan semikonduktor, infrastruktur yang mantap serta bekalan tenaga yang boleh dipercayai.

“Semua kelebihan itu berjaya menarik kehadiran syarikat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan TBB global serta memacu inovasi dalam teknologi solar,” katanya.

Nik Nazmi juga menegaskan kerajaan Malaysia menyedari mengenai kesukaran mencapai matlamat tenaga hijaunya jika bertindak secara sendirian.

“Atas alasan ini, kita terlibat secara aktif dalam inisiatif serantau seperti Grid Tenaga ASEAN (APG) yang bertujuan meningkatkan dagangan tenaga elektrik rentas sempadan selain menyepadukan sumber TBB di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Menurutnya, penyertaan dalam APG membolehkan Malaysia membantu mewujudkan rangkaian tenaga yang lebih saling berkaitan serta terjamin untuk seluruh rantau ASEAN.

Projek itu akan membolehkan Malaysia berkongsi TBB secara lebih cekap selain mengimport dan mengeksport tenaga bersih di samping memastikan keterjaminan tenaga serantau.

“Ini contoh terbaik bagaimana integrasi serantau dapat memainkan peranan penting dalam mencapai peralihan tenaga hijau selain meningkatkan daya tahan sistem tenaga kita," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan