EKONOMI > BERITA

ASEAN SEDIA AMBIL LANGKAH TANGANI KETIDAKTENTUAN PASARAN EKORAN TARIF AS - AFMGM

10/04/2025 10:16 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamatgi

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pengenaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) dan kemungkinan tindakan balas boleh mengakibatkan peningkatan ketidaktentuan dalam aliran modal dan kadar pertukaran, menurut kenyataan bersama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12.

Blok serantau ini sedang memantau perkembangan itu dengan teliti dan bersedia untuk mengambil langkah yang sesuai bagi menangani sebarang ketidaktentuan, sekiranya perlu, jelasnya.

“Rantau ini dijangka kekal berdaya tahan walaupun menghadapi cabaran luaran yang berterusan. Bagaimanapun, kita menyatakan kebimbangan mengenai pengumuman tarif tambahan oleh AS baru-baru ini dan kemungkinan kesannya terhadap ekonomi kita.

“Berlandaskan keterbukaan ekonomi dan kebergantungan negara anggota ASEAN kepada perdagangan luar, faktor seperti pertumbuhan global yang perlahan, penurunan perdagangan antarabangsa dan aliran pelaburan yang berkurangan boleh menjejaskan prospek pertumbuhan rantau ini,” menurut kenyataan bersama itu.

AFMGM juga mengesahkan kembali komitmen terhadap sistem perdagangan multilateral yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan di samping untuk memajukan integrasi ekonomi rantau ini, dalam keadaan ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat, tambahnya.

Blok serantau ini juga tetap bersedia untuk bekerja secara konstruktif dengan semua rakan termasuk AS, untuk mengenal pasti penyelesaian yang seimbang dan bercirikan pandangan jauh yang menyumbang kepada ekonomi global yang lebih berdaya tahan dan mampan, jelas kenyataan bersama AFMGM itu.

Menurut kenyataan bersama itu, AFMGM juga menegaskan pendirian untuk tidak mengenakan sebarang tindakan balas terhadap tarif yang diperkenalkan oleh AS.

Dalam keadaan ketidaktentuan global yang meningkat ini, AFMGM mengulangi komitmen untuk memperkukuh daya tahan kewangan dan mempercepat integrasi kewangan dalam rantau ini, bagi menyokong perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang lebih besar.

“Kita menyeru institusi kewangan antarabangsa untuk memberi lebih perhatian kepada risiko yang ditimbulkan oleh tarif yang tinggi terhadap ekonomi global dan menasihatkan ahli mereka mengenai kaedah dasar yang sesuai untuk mengharungi risiko ini,” menurut kenyataan bersama itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan