EKONOMI > BERITA

ASEAN PERLU REBUT KESEMPATAN BRI, AI UNTUK PERKUKUH SINERGI EKONOMI BERSAMA CHINA

11/04/2025 09:32 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid and Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Negara-negara ASEAN perlu mengambil langkah proaktif untuk memanfaatkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan kemajuan teknologi khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh integrasi serantau, merangsang inovasi dan mempertingkat daya saing ekonomi jangka panjang.

Pengarah Eksekutif  Belt and Road Initiative Caucus for Asia Pacific of Malaysia Ong Chongyi berkata pendekatan China yang berasaskan pembangunan infrastruktur telah banyak mengubah landskap hubungan serantau, terutamanya dengan pembinaan landasan kereta api laju China-Laos yang berjaya mengubah Laos daripada negara yang terkurung daratan kepada hab logistik strategik.

“BRI telah membantu mengatasi kekangan teknologi dan kewangan sebelum ini, dan kini kita melihat zon-zon ekonomi berskala besar berkembang pesat di kawasan yang dahulunya kurang maju,” katanya dalam sesi panel bertajuk “Membina Pasaran Besar ASEAN-China Bersama-sama” pada Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China di sini, hari ini.

Di Malaysia, projek awal BRI seperti Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan sistem logistik dan menarik pelaburan ke Pantai Timur.

“Ini baru permulaan. Potensi pertumbuhan di sepanjang koridor ECRL yang dijangka siap pada 2027 amat besar,” katanya.

Dari sudut dasar, Ong Chongyi yang merupakan pegawai ekonomi Malaysia yang terlibat secara langsung dalam hubungan dua hala berkata, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (FTA) dan program kerjasama susulan telah mengubah corak pelaburan antara kedua-dua pihak.

“Sebelum 2009, pelaburan Malaysia di China jauh melebihi pelaburan China di Malaysia.

Namun, trend itu berubah selepas pakatan kerjasama 2011 dan lawatan Presiden Xi Jinping pada 2013 yang mencetuskan kemasukan pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor utama seperti logistik, teknologi dan automotif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bioeconomy Corporation merangkap Penasihat Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS)  Lee Boon Chye berkata ASEAN perlu segera merebut peluang daripada kekuatan China yang semakin berkembang dalam inovasi AI.

Beliau berkata China telah memfailkan lebih 300,000 paten berkaitan AI pada 2024 - jumlah yang melebihi keseluruhan dunia.

Lee menggesa negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama penyelidikan serta mengiktiraf piawaian teknologi China bagi mempercepat pemindahan inovasi.

“Jika sebelum ini cendekiawan kita lebih cenderung ke Barat untuk pengajian peringkat PhD (Doktor Falsafah) dan penyelidikan.

Namun, dengan semakin banyak kekangan di Barat, sudah tiba masanya untuk kita mengubah arah dan melihat ke Timur,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya China membuka lebih banyak peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta biasiswa kepada penyelidik ASEAN.

Forum itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jumaat, dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong turut hadir.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Program sehari itu dianjurkan bersama oleh Bernama dan Agensi Berita Xinhua bertemakan “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, yang menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk pemimpin media berpengaruh, wakil-wakil, pegawai kanan kerajaan serta pakar dari seluruh ASEAN dan China bagi memperdalam jalinan kerjasama dalam landskap media yang sentiasa berkembang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan