EKONOMI > BERITA

MYEG PARTNERS BEITOU IT INNOVATION AKAN TUBUH MAKMAL AI CHINA-ASEAN

11/04/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan digital terkemuka Malaysia, MY E.G. Services Berhad telah menandatangani perjanjian dengan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co., Ltd untuk bersama-sama menubuhkan Pusat Inovasi dan Kerjasama Kecerdasan Buatan (AI) Malaysia-China.

Ia akan dikenali sebagai Makmal AI China-ASEAN rintis perdana (flagship).

MYEG dalam satu kenyataan hari ini berkata perjanjian itu adalah usaha bagi merealisasikan visi kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam AI.

Seiring dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara China dan Malaysia mengenai pembangunan AI, MYEG dan Beitou IT Innovation, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Wilayah Guangxi telah dipilih untuk bersama-sama menubuhkan sebuah makmal G2G yang unik.

Makmal itu akan menempatkan syarikat AI terkemuka dari China dan ASEAN untuk bersama-sama membangunkan produk AI tempatan serta menggerakkan aplikasi merentas sempadan.

Di bawah kendalian MYEG, Makmal AI itu melibatkan penyertaan peneraju dalam bidang masing-masing, antaranya Deepseek dari China, syarikat robotik dan dron DJI dan Leju Robot, Huawei Technologies serta penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT) Malaysia, Heitech Padu Berhad.

“Terletak di Zetrix Tower (sebelumnya dikenali sebagai MYEG Tower) di Petaling Jaya, Makmal AI ini akan memberi tumpuan kepada pertembungan teknologi blok rantai, AI generatif dan robotik dengan penekanan kepada aplikasi merentas sempadan dan penyesuaian perkhidmatan AI mengikut budaya dan nilai tempatan,” katanya.

MYEG berkata perkhidmatan pertama yang akan diperkenalkan adalah pengiktirafan bersama untuk ID Digital nasional dari Malaysia dan China bermula dengan Wilayah Guangxi.

Perkhidmatan tersebut membolehkan warganegara Malaysia menggunakan MyDigital ID mereka untuk pelbagai keperluan pengesahan identiti di Wilayah Guangxi terutamanya untuk keperluan ‘mengenali pelanggan anda’ KYC di institusi kewangan dan pelbagai tempat tarikan pelancong, katanya.

“Pada masa sama, ID digital warganegara China akan diterima untuk pengesahan identiti di Malaysia,” kata MYEG.

Pertukaran perjanjian itu disaksikan Gabenor Kerajaan Guangxi, Lan Tianli dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan