EKONOMI > BERITA

PEMIMPIN ASEAN AKAN KE WASHINGTON, BERUNDING SEBAGAI SATU BLOK DAN NYATAKAN PENDIRIAN BERSAMA

11/04/2025 10:40 AM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini telah meminta melalui Kementerian Luar, membincangkan isu tarif pada sidang kemuncak khas Amerika Syarikat (AS)-ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengesahkan bahawa semua pemimpin ASEAN telah bersetuju untuk ke AS bagi bertemu Presiden Donald Trump pada sidang kemuncak itu.

“Saya difahamkan daripada sekretariat ASEAN, kami kini sedang menunggu pihak AS untuk memberi maklum balas mengenai masa yang sesuai,” katanya pada temu bual dengan CNBC pagi ini.

Beliau menegaskan bahawa ASEAN tidak percaya dengan sebarang tindakan tarif balas dan blok perdagangan Asia Tenggara ingin terus berhubung dengan Washington.

Bagi Malaysia, Tengku Zafrul berkata negara mengambil pendekatan dua hala dan pelbagai hala.

“Kami juga bersetuju bahawa sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan adalah cara untuk Malaysia. Kami mempunyai para pegawai di Washington, kementerian dan kedutaan yang sedang berurusan (dengan pihak AS).

“Sudah tentu, menteri luar kami juga telah berhubung dengan Setiausaha Negara AS,” katanya, sambil menambah purata kadar tarif yang dikenakan oleh Malaysia ke atas AS ialah 5.6 peratus.

Tengku Zafrul berkata Putrajaya mengalu-alukan penangguhan tarif balas oleh AS berikutan ini memberi peluang untuk berunding dan berbincang.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) pada Khamis, para menteri berkata kumpulan itu kekal komited untuk menjaga kepentingan ekonomi ASEAN serta mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dan saling memberi manfaat dengan AS.

Mesyuarat secara maya itu dipengerusikan oleh Tengku Zafrul.

Para menteri berkata mereka bersedia bekerjasama dengan AS mengikut Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) dan Pelan Kerja Kerjasama Ekonomi Diperluas (E3) untuk meneroka penyelesaian yang boleh diterima bersama mengenai isu kepentingan bersama.

Ini termasuk memudah cara perdagangan dan pelaburan dua hala, memperkukuh perkongsian perdagangan strategik serta meningkatkan kesalinghubungan dan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi yang boleh menggalakkan kerjasama serantau yang lebih utuh.

“ASEAN yakin kerangka kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang ditambah baik, teguh dan mempunyai ciri pandangan jauh akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan ekonomi global yang lebih luas,” kata mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan