EKONOMI > BERITA

SABAH CATAT JUMLAH PELABURAN RM6.5 BILION TAHUN LEPAS - TUN MUSA

10/04/2025 04:43 PM

KOTA KINABALU, 10 April (Bernama) -- Sabah mencatatkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dengan 38.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan pada tahun lepas, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Beliau berkata angka tersebut jelas menunjukkan usaha kerajaan Sabah untuk membangunkan sektor pembuatan supaya berada di landasan tepat dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu.

Musa berkata sektor pembuatan terus memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi negeri, selain membuka peluang untuk integrasi teknologi, memperkukuh infrastruktur dan mencipta peluang pekerjaan.

“Sehubungan itu, tumpuan akan diberikan bagi membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran dalam industri-industri utama termasuk biojisim, kelapa sawit, Perladangan Pokok Perindustrian (Industrial Tree Plantations) serta minyak dan gas.

“Dengan menggalakkan pengembangan sektor ini, Sabah juga berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan,” katanya dalam Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.

Dalam pada itu, Musa berkata Sabah juga berjaya mengekalkan pungutan hasil negeri melebihi paras RM6 bilion iaitu sebanyak RM6.842 bilion pada tahun lepas.

Menurutnya, kerajaan Sabah telah mengenakan Cukai Jualan Negeri ke atas tiga produk baharu iaitu pasir silika, biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari Sabah serta emas dan perak yang dilombong di negeri itu.

Ia adalah usaha untuk mempelbagai sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan hasil negeri terhadap sumber berkaitan minyak dan gas, katanya.

Sementara itu, Musa berkata kerajaan Sabah telah merangka hala tuju strategik pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan tumpuan diberikan kepada bidang-bidang keutamaan yang menjadi tonggak pembangunan negeri.

“Justeru, saya menggesa agar semua kementerian, jabatan dan agensi negeri mengambil langkah proaktif untuk merancang pembangunan selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan ini bagi memastikan keperluan sebenar negeri diberikan keutamaan,” jelasnya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan memberi fokus kepada pelaksanaan program dan projek berorientasikan perbelanjaan pembangunan sebagai usaha memastikan kelancaran pelaksanaan dalam hala tuju strategik pembangunan negeri melalui RMK-13.

Katanya komitmen itu adalah selaras dengan usaha mempertingkat pengurusan kewangan negeri yang teratur serta meningkatkan perbelanjaan pembangunan berbanding dengan perbelanjaan mengurus.

“Dengan usaha ini, pencapaian matlamat pembangunan ekonomi negeri akan dapat dipercepatkan.        

“Saya yakin, dengan kerjasama penuh semua pihak, proses penyediaan RMK-13 akan dapat berjalan lancar dan teratur dengan mengambil kira pelbagai perspektif dan keperluan seterusnya meletakkan asas kukuh untuk pembangunan negeri Sabah yang mampan dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan