Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 15 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan tokoh penting dalam mempromosikan tamadun Islam dan perpaduan serantau, kata seorang cendekiawan Islam terkemuka Indonesia.
Memberi penghormatan kepada Perdana Menteri Malaysia kelima itu, bekas Pengerusi Pimpinan Pusat Muhammadiyah Prof M. Din Syamsuddin menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Tun Abdullah, menyifatkannya sebagai “kehilangan bukan sahaja untuk Malaysia, malah untuk umat Islam sejagat dan dunia amnya.”
Mengenang hubungan peribadinya dengan Allahyarham, Din Syamsuddin mengimbas kembali pertemuan pada 2014 ketika beliau mengetuai delegasi enam pemimpin kanan Islam Indonesia bertemu Tun Abdullah di Putrajaya.
Tujuan lawatan itu adalah bagi menggalakkan penyelesaian damai terhadap pertikaian wilayah Ambalat antara Indonesia dan Malaysia dengan semangat "ukhuwah Islamiyah" (persaudaraan Islam), katanya.
“Tun Abdullah yang juga mesra dengan panggilan Pak Lah menjawab serta-merta dengan menyatakan bahawa beliau akan menghubungi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada keesokan harinya. Misi kami selesai dalam masa kurang seminit,” katanya dalam satu kenyataan.
Din Syamsuddin berkata pertemuan itu diteruskan dengan sesi perbincangan mendalam lebih sejam berhubung gagasan Islam Hadhari oleh Tun Abdullah – pendekatan ketamadunan terhadap Islam yang menekankan pembangunan, pendidikan dan tadbir urus yang baik.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), berkata satu daripada pandangan Pak Lah meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya.
“Beliau (Pak Lah) menyatakan bahawa orang Islam Arab telah menunaikan tanggungjawab sejarah mereka, begitu juga orang Parsi, Afrika Utara dan India Muslim. Kini tiba masanya bagi orang Melayu beragama Islam bangkit dan memimpin kemajuan tamadun Islam.”
Din Syamsuddin menambah bahawa konsep Islam Hadhari kekal relevan dan dan harus memberi inspirasi kepada perpaduan dan pembaharuan yang lebih erat dalam kalangan umat Islam di Indonesia, Malaysia dan Brunei.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kepada Allahyarham Abdullah Badawi keampunan, rahmat, dan syurga,” katanya.
Abdullah, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 7.10 malam Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial