SINGAPURA, 10 April (Bernama) -- Black Group Investment Holding yang berpusat di Singapura mengambil alih LifeBank Stem Cells iaitu pengedar perbankan sel stem dan penyelesaian terapi selular.
Pengambilalihan itu menekankan komitmen kumpulan bagi mengembangkan rangkaian yang menyokong usia panjang yang sihat dan aktif.
Black Group berkata pengambilalihan strategik ini yang dimeterai pada World Ageing Festival 2025 minggu ini di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre akan mengukuhkan rangkaian saluran pengedarannya untuk perubatan peribadi dan terapi regeneratif.
"Dengan menggabungkan kepakaran LifeBank dalam pengedaran perbankan sel stem pluripotent terinduksi (iPSC) dan sel stem mesenkimal (MSC) dengan Meditel milik Black Group, kerjasama ini bermatlamat mempercepatkan akses kepada terapi mempercepatkan kesan bagi keadaan berkaitan usia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburannya, Datuk Seri Alan Lee berkata kumpulan memberi tumpuan untuk mewujudkan masa depan apabila terapi selular maju bukan sahaja boleh diakses tetapi turut didedikasikan bagi setiap peringkat kehidupan.
"Ini merupakan langkah ke arah mentakrifkan semula penjagaan untuk populasi yang menua," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan LifeBank Stem Cells, Victor Tan berkata bersama Black Group, pihaknya akan memperluaskan capaian selain memastikan perbankan sel stem serta rawatan regeneratif menjadi asas kepada usia sihat di Singapura dan seterusnya.
Black Group juga memperkenalkan rancangannya untuk Meditel iaitu sebuah hotel perubatan pertama seumpamanya di pusat bandar raya Kuala Lumpur yang menggabungkan perubatan regeneratif dengan hospitaliti mewah.
Kemudahan yang akan datang disokong oleh sistem penjagaan yang dibantu robot, diagnostik dan terapeutik yang dipacu kecerdasan buatan (AI) selain menawarkan persekitaran holistik untuk kesejahteraan, pemulihan serta usia sihat.
Pada Februari lepas, Lee mengumumkan Black Group melabur S$100 juta (RM331.45 juta) untuk membangunkan kemudahan tersebut.
Selain itu, Black Group mengumumkan pelancaran cabang inovasinya yang baharu, Immortality by Black Group yang akan menerajui usaha syarikat dalam memajukan gerakan umur panjang.
Entiti ini akan memberi tumpuan kepada metodologi terapi sel terkini dan teknologi bioperubatan yang bertujuan memanjangkan jangka hayat kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial