KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan prospek positifnya terhadap sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) walaupun terdapat impak daripada tarif baharu yang memberi tekanan kepada penilaian sektor tersebut.
Menurut bank pelaburan itu dalam nota hari ini, sektor EMS tidak terkecuali daripada langkah tarif Amerika Syarikat (AS) yang disasarkan kepada rakan dagangannya.
Sektor itu merosot sebanyak 14 peratus sejak pengumuman tersebut.
“Walaupun pelanggan dijangka tidak memindahkan pangkalan pembuatan dalam masa terdekat, kelewatan penghantaran dijangka berlaku disebabkan rundingan yang sedang berlangsung dengan AS dan permintaan yang rendah untuk barangan elektronik pengguna.
“Bagaimanapun, penilaian kini dilihat lebih menarik. Kami mengambil pendekatan berhati-hati dan memberi keutamaan kepada syarikat yang mempunyai operasi pelbagai atau produk yang dapat menghadapi kelembapan pasaran,” katanya.
Menurut Maybank IB, walaupun perang tarif berterusan, Malaysia dijangka kekal dalam kedudukan yang baik berbanding negara ASEAN lain berikutan tarif yang lebih rendah dikenakan ke atas negara ini.
“Kita masih dapat menarik pelaburan langsung asing ke rantau ini tetapi kami menjangkakan kelewatan,” katanya.
Dalam masa terdekat, katanya pihaknya percaya pelanggan dijangka menyerap kos tarif di bawah perjanjian sedia ada dan peralihan ketara dalam pangkalan pembuatan mungkin tidak berlaku berikutan aktiviti penyumberan luar yang dijangka berterusan.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu mengingatkan bahawa jika rundingan tarif yang berterusan tidak mencapai jangkaan, pendapatan sektor boleh menghadapi tekanan tambahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial