ISTANBUL, 21 Mei (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani menyambut baik keputusan Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap negaranya, menyifatkannya sebagai “pencapaian bersejarah baharu” bagi rakyat Syria.
“Kami, bersama rakyat kami telah mencapai kemenangan bersejarah melalui penarikan balik sekatan EU terhadap Syria,” tulis Shaibani di platform X, menurut laporan Anadolu Ajansi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada negara anggota EU dan semua pihak yang terlibat dalam “kemenangan” itu.
Al-Shaibani berkata langkah itu akan mengukuhkan “keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di Syria”, sambil menambah bahawa “Syria berhak menikmati masa depan yang cerah, setimpal dengan rakyatnya dan tamadunnya.”
Kenyataan beliau dibuat susulan pengumuman pada awal hari sama oleh Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas.
“Hari ini, kami membuat keputusan untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap Syria. Kami mahu membantu rakyat Syria membina semula Syria yang baharu, inklusif dan aman,” katanya di X.
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) minggu lepas berkata ia sedang bekerjasama dengan Jabatan Negara dan Majlis Keselamatan Negara untuk melaksanakan arahan Presiden Donald Trump berhubung penarikan sekatan terhadap Syria.
Amerika Syarikat mula mengenakan sekatan ke atas Syria sejak 1979 dan meluaskannya dengan ketara selepas tercetusnya perang saudara pada 2011.
Ahmed Al-Sharaa, yang mengetuai pasukan antirejim menggulingkan Bashar al-Assad pada Disember tahun lepas, telah diisytiharkan sebagai presiden untuk tempoh peralihan pada akhir Januari.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial