AM > BERITA

Penyampaian Ilmu Di Luar Bandar Sarawak Perlu Pendekatan Baharu - Abang Johari

21/05/2025 11:48 PM

KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Proses penyampaian ilmu kepada masyarakat luar bandar perlu dilakukan dengan pendekatan baharu yang lebih menarik dan bersifat menghiburkan sejajar dengan perubahan zaman serta perkembangan teknologi, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan masyarakat desa tidak ketinggalan dalam era digital khususnya dalam aspek literasi dan akses kepada bahan bacaan ilmiah.

“Pendekatan baharu itu adalah untuk menjadikan ia menarik dan menghiburkan untuk orang kampung. Jadi, kalau mereka membaca sahaja, bosanlah mereka. Jadi, mesti ada interaksi dalam cara penyampaian ilmu kita,” katanya ketika berucap sempena sambutan ulang tahun ke-25 Pustaka Negeri Sarawak malam ini.

Beliau turut merujuk kejayaan program Subsidi Kesejahteraan Asas Sarawak (SKAS) yang menunjukkan golongan B40 di kampung juga mampu menggunakan teknologi untuk membuat pembayaran dalam talian sekali gus menunjukkan tahap literasi digital mereka. 

“Kita sudah diberitahu 86 peratus (rakyat yang layak menikmati SKAS) sudah mendaftar dan mereka menggunakan pembayaran secara dalam talian, bermakna orang kampung kalau kita ajar mereka juga boleh ada akses dalam talian untuk bahan bacaan ilmiah," katanya.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan bagi membina bangunan arkib baharu yang lebih moden sebagai komitmen berterusan untuk memelihara khazanah penting di negeri itu.

“Yang penting bagi kita adalah untuk menyimpan khazanah kita. Sebab itulah kerajaan telah meluluskan bangunan baru arkib. Saya rasa arkib ini yang tercanggih di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata dokumen-dokumen penting berkaitan Sarawak seperti dokumen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperoleh dari London sebelum ini akan disimpan di arkib itu sebagai rujukan rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan