LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Maldives komited untuk memberi penekanan terhadap pembangunan kapasiti serta memastikan kerjasama dalam aspek itu terus ditingkatkan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan perkara itu disepakati dalam pertemuan bersama Menteri Pertahanan Maldives Mohamed Ghassan Maumoon malam tadi.
“Menerima kunjungan Menteri Pertahanan Maldives Mohamed Ghassan Maumoon yang kini berada di Langkawi untuk menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
“Pertemuan malam tadi membuka ruang perbincangan dan bertukar pandangan, termasuklah dalam menangani cabaran sebagai negara maritim dan pengukuhan hubungan pertahanan sedia ada,” katanya.
Selain itu, beliau turut menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera Afrika Selatan Matsie Angelina Motshekga yang turut berada di negara ini sempena LIMA’ 25.
Beliau berkata pertemuan itu adalah yang pertama antara dua pemimpin dan juga lawatan sulung Matsie Angelina ke negara ini.
“Malaysia-Afrika Selatan mempunyai hubungan dan kerjasama pertahanan sejak tahun 1996 lagi. Kestabilan di rantau ASEAN menjadi inspirasi buat Afrika Selatan.
“Semoga hubungan dan kerjasama erat antara dua negara ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi, termasuklah dalam perspektif pertahanan,” katanya.
LIMA'25 anjuran bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) yang memberi penekanan pada inovasi serta peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.
Bertemakan ‘Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan’, LIMA'25 yang berlangsung di Langkawi, Kedah adalah pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial