LANGKAWI, 21 Mei (Bernama) -- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini mendatangani surat niat (LOI) bersama MHS Aviation Berhad, anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad untuk memacu pembangunan teknologi penerbangan tanpa pemandu di Malaysia.
Kerjasama strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi, dan latihan dalam bidang Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS), satu domain kritikal bagi kelangsungan pertahanan negara dan daya saing industri teknologi tinggi di negara ini.
UPNM menerusi kenyataan memaklumkan LOI itu memeteraikan komitmen bersama antara akademik dan industri dalam memperkasakan keupayaan teknologi UAS negara melalui pembangunan modul akademik serta latihan lapangan khusus berkaitan sistem pesawat tanpa pemandu.
“Selain itu, komitmen tersebut bagi melaksanakan penyelidikan bersama dan perkongsian ilmu secara strategik dan berimpak tinggi, peningkatan kompetensi pelajar dan pegawai UPNM melalui latihan industri serta pembelajaran simulasi dan bengkel teknikal,” katanya.
Terdahulu, majlis menandatangani LOI disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MHS Aviation Bhd Mohd Fakhrul Arifin Adinan di reruai Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini.
Sementara itu, Arman Rumaizi dalam kenyataan yang sama berkata kolaborasi itu akan memperkukuh daya saing penyelidik dan pelajar serta memposisikan UPNM sebagai hab kecemerlangan dalam teknologi pertahanan, sejajar dengan teras strategik dalam UPNM30 iaitu kesarjanaan dan pusat kecemerlangan.
“Kerjasama ini merupakan batu loncatan penting dalam merealisasikan aspirasi UPNM30 yang menekankan pendekatan holistik dalam menyatukan disiplin ketenteraan, akademik, teknologi serta industri,” katanya.
Beliau berkata UPNM percaya bahawa kolaborasi berkenaan akan mewujudkan pemindahan teknologi yang lebih efisien, mempercepat pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta memperkukuh kesiapsiagaan strategik negara dalam menghadapi cabaran keselamatan moden.
Dalam pada itu, Mohd Fakhrul pula berkata pihaknya berharap kolaborasi tersebut dapat membangunkan keupayaan UAS negara daripada akar umbi dengan membentuk kepakaran insan dan pembangunan teknologi secara serentak.
Selain itu, beliau berkata ia juga mencerminkan komitmen Boustead dalam memacu inovasi pertahanan dan menyokong agenda transformasi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial