POLITIK > BERITA

PEMILIHAN PKR PERTANDINGAN DALAMAN PARTI, TIDAK TIMBUL SOAL ROMBAK KABINET - PM ANWAR

22/05/2025 02:34 AM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Pemilihan PKR 2025 adalah satu proses pertandingan dalam parti dan tiada kaitan dengan soal rombakan Jemaah Menteri, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau yang juga Presiden PKR berkata pertandingan jawatan dalam parti itu sepatutnya menjadi satu proses yang mampu memperkukuh dan merangkul semua kekuatan untuk mengukuhkan parti.

“Pemilihan PKR adalah pertandingan antara sahabat-sahabat, rakan karib dan kenalan kita sendiri. Maka tidak timbul sama sekali soal berlaku perubahan kepada Jemaah Menteri.

“Kita tidak boleh menghalang cita-cita orang lain (untuk melepaskan jawatan atau mengisi kekosongan jawatan), dia ingat kosong (kekosongan jawatan) dia mahu isi..itu biasa.

“Jika tanya saya, saya tidak ada sebarang rencana untuk lakukan apa-apa perubahan pada Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini malam ini.

Beliau menjawab pertanyaan berhubung hasrat penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi dalam Kabinet jika beliau tewas dalam pemilihan parti itu.

Pemilihan PKR 2025 menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu antara Rafizi dengan Nurul Izzah Anwar.

Kongres Nasional PKR 2025 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru bermula Jumaat ini dengan pengundian bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita bagi sesi 2025-2028 diadakan pada hari sama bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata ‘kehangatan’ pertandingan dalaman parti itu perlu dilihat secara positif dan tidak mencerminkan sebarang elemen ketidakstabilan politik negara.

“Apa yang berlaku ini pertandingan merebut jawatan itu adalah politik yang stabil, ada pertandingan..tak stabil jadi diktator, tiada pertandingan…kita harus lihat secara positif,” katanya.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa lebih sejam dalam sesi taklimat itu yang disertai 83 wakil media tempatan dan antarabangsa serta menjawab pelbagai persoalan berkaitan isu semasa termasuk berhubung Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan