DUNIA > BERITA

PRESIDEN SYRIA PUJI TINDAKAN TRUMP TARIK BALIK SEKATAN, ANGGAP PERMULAAN "SYRIA MODEN"

15/05/2025 11:42 AM

ISTANBUL, 15 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Syria Ahmad al-Sharaa pada Rabu menyambut baik keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik balik sekatan yang telah lama dikenakan ke atas Syria, dan menyifatkannya sebagai detik perubahan penting bagi masa depan negara itu.

“Hari ini menandakan permulaan usaha serius dan pelancaran perjalanan Syria moden,” kata al-Sharaa dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Beliau menyifatkan langkah Trump itu sebagai “keputusan berani yang meletakkan asas kepada kestabilan serantau.”

Pemimpin Syria itu turut merakamkan penghargaan kepada sekutu serantau, khususnya Turkiye.

“Presiden Recep Tayyip Erdogan sentiasa bersama rakyat Syria, dan negaranya telah banyak berkorban sepanjang 14 tahun lalu,” katanya.

Al-Sharaa turut mengundang komuniti perniagaan antarabangsa untuk melabur di Syria.

“Kami mengalu-alukan semua pelabur dan menjemput mereka merebut peluang yang tersedia,” katanya.

Beliau juga menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk memecahbelahkan negara itu.

“Kami tidak akan benarkan Syria dipecahkan, dan kami juga tidak akan memberi ruang kepada naratif rejim terdahulu yang cuba memecahbelahkan rakyat kami,” tegasnya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan