KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka sederhana iaitu sebanyak 2.6 peratus pada 2025 dan 2.7 peratus menjelang 2026, menandakan penurunan yang ketara berbanding 3.6 peratus yang dicatatkan semasa 2024, menurut laporan terbaharu oleh Unit Sokongan Dasar APEC.
Laporan itu mengaitkan semakan ke bawah ini kepada ketidakpastian dasar yang berterusan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, yang terus memberi kesan kepada ekonomi serantau.
Disebalik cabaran-cabaran ini, laporan tersebut turut mengenal pasti peluang bagi ekonomi anggota untuk mengukuhkan kerjasama serta daya tahan dengan memajukan pembaharuan struktur dan mengekalkan perdagangan terbuka.
Aktiviti ekonomi dan perdagangan di seluruh 21 ekonomi anggota APEC dilihat agak lembap.
Jumlah eksport untuk 2025 dijangka meningkat hanya 0.4 peratus, manakala angka import diramalkan menokok sebanyak 0.1 peratus, mencerminkan penurunan daripada 2024, apabila jumlah eksport dan import, masing-masing naik sebanyak 5.7 peratus serta 4.3 peratus.
Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Carlos Kuriyama berkata tarif yang semakin melonjak, tindakan balas, prosedur fasilitasi perdagangan yang digantung dan peningkatan halangan bukan tarif telah mewujudkan persekitaran perdagangan yang semakin mencabar.
"Ketidakpastian seperti ini telah menjejaskan keyakinan perniagaan dan banyak firma besar terpaksa menangguhkan pelaburan dan pelancaran produk baharu sehingga keadaan menjadi lebih stabil," katanya.
Kuriyama menekankan bahawa langkah-langkah perlindungan yang semakin meningkat dan amalan perdagangan yang tidak adil, seperti penambahan subsidi telah mewujudkan persekitaran, yang mana banyak firma menangguhkan dahulu sebarang keputusan dan aktiviti merentas sempadan.
"Apa yang membimbangkan kami adalah semua ketidakpastian ini boleh menjejaskan pekerjaan," katanya.
Laporan itu juga menyatakan bahawa pasaran kewangan telah memberi respons kepada ketidakpastian tersebut.
Indeks kemeruapan global telah melonjak kepada 52 mata pada April, lebih daripada tiga kali ganda pada purata 2023-2024, manakala emas dipacu kepada US$3,200 satu auns troy pada awal Mei apabila pelabur beralih kepada aset-aset selamat.
Sementara itu, hutang kerajaan merentasi APEC dijangka mencecah 110 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2030.
"Pada masa yang sama, kami menghadapi peralihan demografi jangka panjang, termasuk jumlah tenaga kerja yang mengecil selain penuaan penduduk. Tekanan fiskal dan struktur adalah nyata," kata laporan itu.
Walaupun disebalik halangan-halangan ini, laporan itu turut menggariskan bahawa keadaan semasa memberikan peluang kritikal bagi ekonomi terbabit untuk bekerjasama.
Kuriyama menggesa ekonomi APEC untuk kembali ke arah kerjasama dan kestabilan.
Beliau menjelaskan langkah memulihkan keyakinan dalam perdagangan memerlukan negara anggota untuk mengendurkan ketegangan, sebaliknya berusaha meningkatkan penerokaan ke dalam pasaran baharu, mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan dan ketelusan peraturan serta prosedur perdagangan di kalangan mereka.
"Ini bukan masa untuk menutup pintu. Ini adalah masa untuk menggandakan kerjasama.
"Melalui tindakan kolektif, ekonomi APEC dapat mengemudi ketidakpastian dan meletakkan asas untuk masa depan yang lebih berdaya tahan dan makmur," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial