AM > BERITA

Aspek Pendidikan Jangan Terbatas, Didik Masyarakat Dengan Ilmu Terkini - Abang Johari

16/05/2025 01:12 AM

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Aspek pendidikan tidak seharusnya terbatas dan masyarakat mesti dididik dengan ilmu terkini untuk menyumbang kepada pembangunan peradaban manusia, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata untuk itu, Sarawak sentiasa menekankan cabang-cabang ilmu yang tertumpu ke arah penyelesaian cabaran global masa hadapan, khususnya dalam bidang teknologi dan ekonomi.

“Sebab itu kita di Sarawak mempunyai dual language programme (DLP) … ada yang mengatakan Sarawak ini nak menekankan bahasa Inggeris, tetapi kita lihat daripada perspektif bahasa dan sudut ilmu.

“Dengan adanya teknologi yang canggih hari ini termasuklah kecerdasan buatan (AI) dan juga teknologi baharu, mahu tak mahu kita mesti melengkapi diri kita dengan teknologi yang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Berambeh Segulai Sejalai di sini malam ini. 

Beliau berkata inisiatif lain termasuk pendidikan tinggi percuma yang akan diperkenalkan mulai 2026 melibatkan disiplin pengajian STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). 

Majlis berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025 yang berlangsung esok dengan Sarawak sebagai tuan rumah.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Lah Woh dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan