AM > BERITA

Anugerah Hari Guru: Dedikasi Luar Biasa Empat Pendidik Diiktiraf

15/05/2025 07:18 PM

KUCHING, 15 Mei (Bernama) -- Empat guru berdedikasi daripada latar belakang berbeza menerima pengiktirafan tertinggi dalam dunia pendidikan negara, sempena Majlis Anugerah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-45 yang berlangsung di sini, sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang mereka dalam mendidik anak bangsa.

Zarlina Ahmad penerima Anugerah Khas Bitara Bahasa, yang diiktiraf atas sumbangannya dalam memperkasakan bahasa Melayu berkata meskipun beliau telah bersara pada tahun 2016, namun komitmennya terhadap pembangunan generasi muda tidak pernah pudar.

Beliau berkata dia terus memainkan peranan penting sebagai Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka serta fasilitator bengkel bahasa, dengan matlamat mengasah dan memupuk potensi bahasa dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

“Semasa saya masih aktif mengajar dahulu, saya menerapkan pendekatan didik hibur dan komunikasi aktif untuk menjadikan bahasa Melayu lebih menarik dan dekat di hati pelajar,” katanya yang telah mengajar selama 30 tahun kepada Bernama, selepas majlis anugerah itu di sini, hari ini.

Bagi Muhammad Nazmi Rosli guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas yang menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan berkata beliau menerapkan pendekatan pembelajaran kontekstual dalam pengajarannya, supaya lebih menarik.

“Ini termasuk mengubah suasana bilik darjah menjadi kolam renang, pantai atau pesawat bagi memberikan pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi bermakna kepada pelajar. Pendekatan ini bertujuan untuk meningkatkan keterlibatan pelajar dan menjadikan pembelajaran lebih menarik serta praktikal.

“Cabaran utama pendidikan luar bandar bukan terletak pada kemudahan, tetapi pada set minda guru dan keperluan untuk memiliki empati, kesabaran dan semangat dalam mendidik anak bangsa,” katanya yang telah  tersenarai antara 10 guru terbaik dunia dalam Global Teacher Prize.

Amirudin Razali guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Ampang Kuala Lumpur yang dinobatkan sebagai Anugerah Guru Ikon STEM berkata beliau berharap, pengiktirafan yang diperolehnya dapat memberi semangat kepada lebih ramai guru STEM untuk terus memperkasakan bakat pelajar dan membawa mereka ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata antara kaedah yang sering beliau terapkan semasa mengajar ialah pembelajaran luar bilik darjah dan aktiviti hands-on yang kaedah itu bukan sahaja membuka ruang penerokaan praktikal kepada pelajar, malah turut mencetuskan daya fikir kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah secara lebih berkesan.

Nur Ameera Nabila Azmi guru muda SK Padang Pekan, Jitra, Kedah yang meraih Anugerah Guru Ikon Muda berkata beliau menggunakan kaedah kreatif seperti nyanyian dan pergerakan dalam kelas, bagi menggalakkan pelajar.

Selain itu, beliau juga rajin merakam bakat pelajar dan menghasilkan video untuk dikongsikan bagi membangkitkan minat pelajarnya agar terus bersemangat dalam kelas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan