AM > BERITA

Malaysia Terima Anugerah Pencapaian Terbaik Penglibatan Wanita Dalam Misi Pengaman PBB

15/05/2025 09:33 AM

Daripada Mohamad Harith Mohamad Nizar

BERLIN (Jerman), 15 Mei (Bernama) -- Malaysia menerima anugerah Pencapaian Terbaik bagi Penglibatan Anggota Pengaman wanita dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersempena UN Peacekeeping Ministerial 2025 di Berlin, Jerman.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan yang dikongsi kepada Bernama memaklumkan bahawa anugerah tersebut diberikan berdasarkan penglibatan aktif anggota pengaman wanita Batalion Malaysia (MALBATT) dalam Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), yang memenuhi sasaran Strategi Kesamarataan Jantina dalam kalangan Anggota Beruniform (UGPS).

Menurut kenyataan itu, Malaysia merupakan antara negara yang komited menyokong agenda Women, Peace and Security (WPS).

Setakat ini, 10.5 peratus daripada keseluruhan anggota pengaman MALBATT di UNIFIL terdiri daripada wanita.

"Selain UNIFIL, ATM turut mengatur gerak anggota pengaman wanita sebagai pegawai pemerhati dan pegawai staf dalam misi MONUSCO (Misi Penstabilan PBB di Republik Demokratik Congo), MINURSO di Sahara Barat dan UNISFA di Abyei," menurut kenyataan itu.

Markas ATM turut memaklumkan bahawa anugerah tersebut merupakan satu bentuk pengiktirafan antarabangsa terhadap sumbangan Malaysia dalam usaha memelihara keamanan sejagat.

Negara lain yang turut menerima anugerah itu ialah Fiji, Guatemala, Kenya, Malawi, Mongolia dan Tanzania. 

Majlis penyampaian anugerah di Berlin itu turut dihadiri Ketua Staf Markas ATM Lt Jen Datuk Azhan Md Othman bersama Penasihat Pertahanan Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di New York Kolonel Shamsuri Noordin.

Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mewakili Malaysia dalam mesyuarat UN Peacekeeping Ministerial 2025 menegaskan komitmen berterusan negara dalam menyokong agenda WPS sejajar dengan pelaksanaan UGPS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan