Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 15 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi akan terus dikenang sebagai tokoh yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan baik antara wartawan Malaysia dan Indonesia, menurut Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia.
Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan berkata Abdullah yang memulakan penubuhan ISWAMI pada 2003. ISWAMI merupakan forum wartawan Malaysia-Indonesia yang menjadi jambatan kepada hubungan media serta berperanan membina kesejahteraan bersama di kedua-dua negara rumpun Nusantara.
Beliau mengenang kembali beberapa siri pertemuan dengan Perdana Menteri kelima itu yang lebih mesra dikenali sebagai “Pak Lah” di Kuala Lumpur dan Jakarta.
“Pak Lah terkenal sebagai seorang pemimpin yang berperibadi baik, lemah lembut dan sangat bersopan santun,” katanya kepada Bernama.
Asro turut mengimbas komitmen Abdullah dalam mempromosikan Islam Hadhari, satu visi kemajuan Islam yang diilhamkan daripada zaman kegemilangan Andalusia dalam bidang sains, intelektual dan kebudayaan.
“Saya terkejut menerima berita pemergian beliau,” tambahnya, yang pernah memimpin agensi berita ANTARA dari 2005 hingga 2007 sebagai pengurus besar.
Abdullah meninggal dunia pada Isnin di usia 85 tahun dan merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara pada Selasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial