DUNIA > BERITA

SUSILO BERDUKA ATAS PEMERGIAN TUN ABDULLAH: “SAHABAT DAN PEMIMPIN BERINTEGRITI”

15/04/2025 10:33 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 15 April (Bernama) -- Bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menzahirkan penghormatan tulus terhadap Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyifatkan beliau sebagai “sahabat sejati dan insan berintegriti tinggi” susulan pemergian beliau pada Isnin.

Susilo, yang berkhidmat dari 2004 hingga 2014, mengenang Tun Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai “Pak Lah” sebagai seorang pemimpin yang ikhlas dan berprinsip, serta komited memperkukuh hubungan Indonesia-Malaysia.

“Setiap kali timbul isu antara negara kita, kami sentiasa seiring dalam mencari penyelesaian terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden keenam Indonesia, yang sering dirujuk sebagai SBY, turut mengenang hubungan kerja rapat mereka yang dibina atas asas kepercayaan dan komunikasi terbuka.

“Kami kerap berhubung, pada bila-bila masa siang atau malam, di mana jua berada. Tiada halangan politik mahupun psikologi antara kami,” ujar Susilo.

Antara kenangan penting yang dikongsikan ialah lawatan Abdullah ke Jakarta pada 2006, ketika mereka membincangkan konflik di Asia Barat antara Israel dan Lubnan.

Pertemuan itu mencetuskan inisiatif bersama untuk mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur yang dipengerusikan Malaysia pada ketika itu.

“Sidang kemuncak itu membuka jalan kepada penempatan batalion mekanis Indonesia sebagai sebahagian misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan,” jelas Susilo.

Beliau turut menyentuh mengenai satu lagi pertemuan dua hala di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, yang dianggap luar biasa kerana tidak diadakan di Jakarta dan menyaksikan persetujuan bersama mengenai beberapa agenda kerjasama penting.

“Dalam kesibukan jadual, kami sempat juga bersenam bersama dan menyapa masyarakat tempatan di Padang Pariaman,” katanya.

Susilo berkata waktu pentadbiran mereka dipenuhi dengan kesepakatan dan semangat bersama, sambil menyatakan bahawa Abdullah, seperti beliau juga, sentiasa ingin menjadi sebahagian daripada penyelesaian serta berusaha ke arah masa depan yang lebih baik.

“Selamat jalan, Pak Lah. Semoga Allah SWT menerima beliau dalam rahmat dan kedamaian abadi. Aamin.”

Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia pada 7.10 malam, Isnin dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang, Selasa.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan