Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 15 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan pemimpin berwawasan yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan Thailand-Malaysia dan memajukan pembangunan kawasan sempadan.
Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengucapkan takziah atas pemergian Abdullah, yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah", meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Isnin.
Menerusi akaun rasmi X miliknya, Paetongtarn berkata Abdullah akan dikenang sebagai pemimpin berwawasan yang berintegriti dan rendah hati, yang tempoh perkhidmatannya dicirikan oleh pembaharuan ekonomi yang signifikan serta usaha memupuk perpaduan nasional.
"Beliau (Abdullah) juga memainkan peranan penting dalam kemajuan hubungan Thailand-Malaysia khususnya pembangunan kawasan sempadan kedua-dua negara.
“Dalam waktu berkabung ini, kami rakyat Thailand turut mengenang dan memberi penghormatan kepada Abdullah Ahmad Badawi serta menyatakan solidariti bersama rakyat Malaysia,” tulisnya.
Sepanjang tempoh pentadbirannya dari 2003 hingga 2009, Abdullah menjalinkan kerjasama erat dengan rakan sejawatnya dari Thailand, terutama dalam menangani serta mengurangkan kesan pemberontakan di Selatan Thailand yang memberi impak kepada kedua-dua negara.
Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia pada 7.10 malam, Isnin di IJN dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 2.30 petang, Selasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial