KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Datuk Shahul Hameed Shaik Dawood, yang mengundurkan diri daripada memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), menamatkan tempoh perkhidmatan hampir lima tahun yang menyaksikan kemajuan transformatif di seluruh organisasi itu.
Dilantik pada 2020, Shahul menerajui HRD Corp melalui tempoh yang menyaksikan usaha penting bagi meningkatkan libat urus industri, memodenkan sistem dan memperkukuh kedudukan kewangan agensi itu.
Kepimpinan beliau memacu pembaharuan dasar yang pantas, pertumbuhan organsasi dan transformasi digital HRD Corp.
Menerusi hantaran di laman Facebook yang mengimbas perjalanan hidupnya sebagai CEO, Shahul Hameed menzahirkan rasa bangga dan setinggi-tinggi penghargaan sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang transformatif buat organisasi mahupun diri sendiri.
“Saya mengambil peranan ini dengan misi yang jelas untuk meletakkan HRD Corp sebagai pemacu strategik nasional bagi pembangunan modal insan Malaysia.
"Hari ini, saya tinggalkan organisasi dengan rasa bangga kerana misi itu bukan sahaja tercapai malah mencapai sasaran yang tidak pernah saya bayangkan,” katanya sambil menambah di bawah kepimpinan beliau, aset di bawah pengurusan HRD Corp meningkat lebih dua kali ganda melepasi RM4 bilion pada 2024, menyaksikan peningkatan sebanyak 101 peratus berbanding 2020.
Shahul Hameed berkata kutipan levi mencecah RM2.32 bilion dengan kelulusan geran sebanyak RM2.28 bilion, mencerminkan kadar penggunaan 98 peratus yang kukuh.
“Selain itu, 2024 menyaksikan peranan HRD Corp sebagai tuan rumah ASEAN Year of Skills 2024 yang sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pembangunan tenaga kerja di rantau ini.
“Kami memacu penambahbaikan dasar kritikal yang meningkatkan penglibatan industri, memperluas akses kepada latihan dan memperkasa ekosistem bakat negara. Menerusi transformasi digital yang menyeluruh, kami meningkatkan penyampaian perkhidmatan, mempercepat masa pemprosesan dan meningkatkan pengalaman pengguna dengan ketara,” katanya.
Beliau berkata kesemua ini mencerminkan lebih daripada sekadar kejayaan operasi; ia menandakan perubahan asas dalam cara HRD Corp memberikan impak melalui orang ramai, proses dan teknologi.
“Daripada inovasi digital dan pengaruh dasar kepada penglibatan pihak berkepentingan dan kecemerlangan prestasi, kami telah meningkatkan tahap tentang perkara yang mungkin boleh dilakukan.
“Saya amat berbesar hati kerana telah menerajui transformasi ini dan memainkan peranan dalam membentuk institusi yang bersedia untuk masa depan serta berdaya tahan yang kekal fokus ke arah memupuk aset Malaysia paling berharga iaitu rakyatnya,” kata beliau.
Shahul Hameed turut merakamkan penghargaan keadap semua pihak berkepentingan yang menyokong perjalanan HRD Corp sepanjang tempoh beliau menerajui agensi itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial