KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Majikan akan dibenarkan untuk menggunakan sebahagian daripada kutipan levi bagi tujuan pengambilan graduan baharu untuk platform latihan, sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata langkah itu yang akan bermula pada pertengahan kedua tahun ini, bertujuan memberi ruang kepada graduan baharu untuk menimba pengalaman bekerja sekali gus memudahkan golongan tersebut memperoleh pekerjaan selepas menerima latihan.
"Antara masalah yang sering dihadapi oleh pekerja atau pencari kerja ialah mereka berkata, 'Saya tidak dapat pekerjaan kerana tiada pengalaman. Tetapi jika anda tidak memberikan saya pekerjaan, saya tidak akan memperoleh pengalaman,'" katanya.
"Oleh itu, kami melihat pengambilan graduan baharu sebagai satu bentuk latihan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya di Wisma Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Abu Huraira Abu Yazid, dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood.
Majlis itu turut dihadiri oleh Duta Yaman ke Malaysia, Dr. Adel Mohammad Ali Ba Hamid; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel; Duta Senegal ke Malaysia, Abdoulaye Barro; Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev; serta Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.
Sim berkata melalui inisiatif itu, syarikat juga diberi insentif untuk memperluas operasi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Dalam usaha mengatasi masalah ini, kerajaan melalui HRD Corp telah merangka pelbagai inisiatif, termasuk menyediakan latihan dan peluang pekerjaan bagi meningkatkan kebolehpasaran belia.
Sebelum ini, media melaporkan HRD Corp berjaya mengumpul kutipan levi sebanyak RM2.3 bilion pada tahun lepas, menunjukkan peningkatan berbanding RM2.1 bilion pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial