DUNIA > BERITA

MALAYSIA TEGASKAN PERANAN SEBAGAI PENGHUBUNG ASEAN DALAM MEMUPUK DIALOG DAN PERSEFAHAMAN

13/04/2025 10:22 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan terus memainkan peranan bagi menghubungkan rantau ini, memperkukuh dialog, kerjasama dan persefahaman bersama antara negara anggota.

Menurut Kementerian Luar, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin menyatakan perkara itu selaku ahli panel dalam sesi perbincangan sempena Forum Diplomasi Antalya 2025 (ADF 2025) yang diadakan di Antalya, Turkiye, baru-baru ini.

Mohamad berkata Malaysia komited untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN dan memastikan ia kekal sebagai pemacu utama dalam hal ehwal serantau, dan pada masa yang sama mendukung prinsip neutral dan berkecuali. 

Beliau turut menekankan komitmen Malaysia untuk berinteraksi secara konstruktif dengan kuasa-kuasa besar dunia, dengan mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang dan berprinsip, walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

“Dalam menangani ruang lingkup global yang sentiasa berkembang dan selalunya tidak menentu, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh kesepaduan dalam kalangan negara anggota ASEAN serta meningkatkan daya tahan, kerelevanan dan kepekaan ASEAN terhadap cabaran serantau dan global,” menurut kenyataan itu. 

Timbalan menteri juga menekankan pendekatan dasar luar Malaysia yang seimbang dan berprinsip dalam melibatkan kuasa global utama, khususnya dalam suasana geopolitik yang kian mencabar.

Sesi itu turut menampilkan Timbalan Menteri Luar Turkiye A Berris Ekinci.

Di luar ADF 2025, Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawat, termasuk Setiausaha Negara di Kementerian Luar Kemboja, Min Khuon Phon Rattanak; Menteri Luar Somalia, Ali Mohamed Omar; dan Timbalan Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Thandi Moraka.

Beliau juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Yaman, Dr Shaya Mohsin Mohamed Zindani.

Perbincangan tertumpu kepada hubungan dua hala, kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. isu-isu serantau dan antarabangsa, khususnya situasi di Timur Tengah, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan