BUKIT MERTAJAM, 13 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang untuk mewujudkan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerja yang menawarkan kemudahan menyeluruh dalam menyelesaikan isu berkaitan buruh.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pusat berkenaan akan menggabungkan semua perkhidmatan berkaitan tenaga kerja supaya pekerja atau majikan tidak perlu pergi ke pelbagai jabatan berbeza.
“Saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai pelan KESUMA untuk menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerja bagi menjaga kebajikan pekerja di negara ini.
“Kita akan menggabungkan semua perkhidmatan ini di bawah satu bumbung bagi memudahkan pekerja dan juga majikan termasuk pengurus sumber manusia, jadi kalau ada isu berkaitan buruh di negara ini, mereka boleh terus ke pusat sehenti tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Naib Pengerusi DAP Negeri Zairil Khir Johari dan Penasihat DAP Lim Guan Eng di sini hari ini.
Pada masa sama, Sim berkata Pulau Pinang akan menjadi permulaan kepada inisiatif baharu itu bagi menambah baik sistem sokongan kepada pekerja.
“Pusat sehenti ini akan diwujudkan di seluruh negara, namun projek perintis ini akan dimulakan di Pulau Pinang dan saya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri berhubung perkara ini,” katanya.
Sementara itu, majlis hari ini dihadiri kira-kira 1,000 tetamu termasuk para pemimpin parti negeri di bawah Kerajaan Perpaduan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial